Penerima bantuan bulanan JKM dinasihat buka akaun baharu

Penerima bantuan bulanan JKM dinasihat buka akaun baharu

SIBU, 25 Jan – Penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinasihat untuk membuka akaun bank baharu selepas Malayan Banking Bhd (Maybank) menamatkan kemudahan pengkreditan secara manualnya awal bulan ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata golongan berkenaan boleh berbuat demikian di institusi perbankan lain seperti CIMB atau RHB bagi urusan pengkreditan bantuan bulanan mereka.

“Kami masih berunding dengan Maybank berhubung perkara ini. Kami minta pihak Maybank menangguhkan sehingga Mac ini bagi membolehkan penerima bantuan membuka akaun baharu di bank lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sejambak Kasih 2016 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini hari ini. Tahun Baharu Cina akan disambut pada 8 Februari.

Pada majlis itu, 180 penerima bantuan daripada kalangan masyarakat Cina menerima wang tunai dan hamper sumbangan JKM.

Fatimah berkata program Sejambak Kasih diadakan setiap tahun pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak dan Krismas. – Bernama