Penerima Kurnia luah kesyukuran

Penerima Kurnia luah kesyukuran

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Rasa syukur dan menjunjung kasih yang tidak terhingga Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak lekang di bibir para penerima Kurnia Peribadi Baginda yang ditemui di Istana Nurul Iman, hari ini.

Salah seorang penerima yang ditemui, Hajah Rosnani binti Haji Ismail, 60, dari Daerah Brunei dan Muara, berkata beliau sudah memasang nazar bahawa Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu akan digunakan untuk menjalankan ibadah korban pada Hari raya Aidiladha nanti.

Menurutnya, hal rugi tidak timbul kerana beliau percaya itu adalah satu amalan yang baik bagi mendapatkan keberkatan Allah SWT.

Hajah Rosnani yang berasal dari Kampung Junjongan, memberitahu ini merupakan kali keempat beliau menerima kurnia peribadi ini di bawah kategori kebajikan kerana beliau mempunyai masalah jantung yang mengehadkan pergerakan fizikalnya sehingga terpaksa diusung di atas kerusi roda.

“Sememangnya musim lebaran ini kita mahu tampil lain, tetapi perlu juga diingat bahawa ada baiknya kita mengutamakan barang keperluan saham kerana kita juga dapat meraikan hari raya dengan gembira dalam kesederhanaan sahaja,” ujarnya.

Hajah Rosnani ketika ditemu ramah wartawan Media Permata.
Hajah Rosnani ketika ditemu ramah wartawan Media Permata.
Awang Mohamad Khairi yang berasal dari Jalan Bedil Kampung Lambak.
Awang Mohamad Khairi yang berasal dari Jalan Bedil Kampung Lambak.

Seorang lagi penerima daripada Kategori Penerima Bantuan Kebajikan, Awang Mohamad Khairi yang berasal dari Jalan Bedil Kampung Lambak Kanan, menyatakan perasaan teruja apabila mendapat tahu beliau tersenarai sebagai penerima buat kali pertama.

“Kewangan ini akan digunakan bagi keperluan lebaran nanti namun mengingatkan diri saya sendiri untuk tidak lupa peranan utama iaitu kesejahteraan anak-anak,” ujarnya, sambil mengingatkan para ibu bapa supaya lebihan wang itu nanti digunakan untuk membeli peralatan persekolahan anak-anak bagi menghadapi peperiksaan pada hujung tahun ini nanti.

Katanya, kita di negara ini sangat lumrah dirahmati dengan seorang pemimpin yang adil, negara yang aman dan banyak lagi kelebihan dan sewajarnya kita mensyukurinya.

Selain penerima beragama Islam dan berbangsa Melayu, penduduk berbangsa Cina tempatan turut menerima Kurnia Peribadi Baginda Sultan, dan salah seorang daripadanya ialah Dayang Leong Bee Wan di bawah kategori Hospital, yang menurutnya, ini adalah kali ke-4 beliau menerima kurnia berkenaan.

Dayang Leong Bee Wan.
Dayang Leong Bee Wan.
Dayang Jenet bersama anak-anaknya.
Dayang Jenet bersama anak-anaknya.

Turut mengongsi kegembiraan menerima kurnia berkenaan buat julung-julung kalinya ialah Dayang Jenet yang datang bersama tiga orang anaknya.

“Saya dan keluarga tidak menduga akan terpilih pada kali ini,” ujar beliau, yang mana anak-anak beliau turut menerima bahagian masing-masing untuk lebaran kali ini

Menurutnya kurnia berkenaan akan dimanfaatkan bagi pendidikan anak-anak, kerana anak perempuannya, Jinie, kini berusia empat tahun dan kos pembelajarannya perlu diberikan perhatian.

Anak lelakinya, Awang Jovian, turut menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan menghargai keprihatinan Baginda Sultan kepada masyarakat, serta menyatakan perasaan sangat terharu dengan sokongan Baginda kepada mereka.

Awang Hasbi yang datang bersama ibunya, Dayang Jini.
Awang Hasbi yang datang bersama ibunya, Dayang Jini.

Seorang lagi penerima kurnia yang ditemui ialah Awang Hasbi Metasan, yang merupakan orang kurang upaya dan hanya bergantung hidup kepada ibunya setelah kematian bapa 14 tahun lalu dengan menggunakan hasil pencen tua bagi membayar rumah dan menyara hidup mereka dua beranak.

Ibunya, Dayang Jini Gapar, menyatakan perasaan gembira dan senang hati dengan kurnia Baginda Sultan ini kerana sekurang-kurang akan dapat dimanfaatkan bagi keperluan asasi mereka.

ARTIKEL YANG SAMA