Peng Soon-Liu Ying bakal terima RM60,000

Peng Soon-Liu Ying bakal terima RM60,000

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pengendali perkhidmatan telefon mudah alih, XOX Bhd akan memberikan imbuhan RM60,000 kepada Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying atas kejayaan meraih pingat pertama negara dalam acara beregu campuran Sukan Olimpik.

Pengarah Urusan, Datuk Eddie Chai turut mengucapkan tahniah kepada gandingan itu yang membanggakan negara di Rio de Janeiro apabila meraih pingat perak acara itu.

“Malaysia mencatat sejarah pungutan pingat dalam temasya ini dan XOX akan memberi imbuhan kepada semua atlet negara yang menyumbang pingat dalam acara badminton dan sukan lain.

“Marilah kita terus memberi sokongan kepada kontinjen negara yang telah melakukan yang terbaik di Rio,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Peng Soon (kiri) dan Liu Ying meraikan kejayaan memenangi pingat perak selepas tewas kepada pasangan Indonesia. - Bernama
Peng Soon (kiri) dan Liu Ying meraikan kejayaan memenangi pingat perak selepas tewas kepada pasangan Indonesia. – Bernama

Selasa lepas, XOX menawarkan ganjaran RM100,000 seandainya Peng Soon-Liu Ying meraih pingat emas pertama negara di temasya Olimpik.

Peng Soon-Liu Ying turut berkongsi insentif Olimpik sebanyak RM300,000 serta pencen bulanan RM3,000 seorang atas kejayaan mendapatkan pingat perak itu. – Bernama