Pengacara perlu mempunyai persiapan rapi

Pengacara perlu mempunyai persiapan rapi

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Antara kriteria penting untuk menjadi pengacara majlis ialah perlu mempunyai persediaan rapi dari segi penyediaan skrip, pandai mengawal intonasi suara, mengetahui protokol sesuatu majlis selain tahu akan peranan dan tanggungjawab sebagai juruacara.

Ia adalah ciri-ciri utama yang ditekankan oleh Pemangku Ketua Bahagian Penyelidikan Perkembangan, Kho Thian Chain semasa ‘Bengkel Juruacara’ yang diadakan di Radio Televisyen Brunei (RTB) Madang dan disertai 29 peserta, hari ini.

Menurut Kho, bengkel itu merupakan salah satu aktiviti latihan yang sangat penting selaras dengan usaha berterusan RTB dalam memberikan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kepada mereka yang sudah atau pun baru menceburkan diri dalam bidang kejuruacaraan.

“Di samping ia juga merupakan satu platform untuk mengembangkan dan menggilap potensi peserta yang terlibat atau yang akan melibatkan diri dalam bidang pengacara di kementerian dan jabatan masing-masing,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, melihat kepada pentingnya peranan juruacara bagi majlis rasmi atau tidak rasmi adalah dengan menyediakan peserta dengan kaedah berkesan dan ‘tools’ ke arah kesempurnaan pengendalian tugas pengacara yang dikendalikan.

Antara peserta di Bengkel Kejuruacaraan.
Antara peserta di Bengkel Kejuruacaraan.

Melalui Bahagian Perkembangan Latihan, bengkel kali ini turut menyerapkan sesi ceramah mengenai Protokol dan Terasul yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Adat Istiadat Negara.

“Ceramah ini penting untuk dipelajari dan dihayati sebagai persediaan sebelum terlibat dalam pengendalian acara atau majlis yang berbentuk formal atau tidak formal di peringkat kementerian, jabatan dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Bengkel selama tiga hari anjuran RTB itu dikendalikan oleh tiga pegawai kanan dari Perkhidmatan Radio Brunei yang berpengalaman luas dalam bidang pengacaraan juga akan diadakan secara berterusan dan dilanjutkan di keempat-empat daerah di negara ini.

Seramai 29 peserta terdiri daripada tujuh peserta RTB dan 22 lagi dari kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan bagi peringkat Daerah Brunei dan Muara yang menyertai bengkel itu turut diberi latihan amali khusus untuk menambahkan kefahaman mengenai kejuruacaraan dan bengkel ini juga diharap dapat menggunakan apa juga dapatan yang dipelajari dan dapat diamalkan seterusnya menjayakan aspirasi organisasi masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA