Pengadil diseru persiapkan diri

Pengadil diseru persiapkan diri

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Festival Bolasepak Serantau Bawah 14 Tahun (B-14) AFC 2016 akan dibuka rasmi pada 26 Julai ini, maka bagi mempersiap 15 orang pengadil muda dari sembilan negara peserta yang akan mengadili semua perlawanan di sepanjang karnival, Kursus Persediaan Pengadil untuk festival itu telah bermula kelmarin.

Membuka rasmi kursus di NFABD House berkenaan ialah Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Badarudin, sambil turut dihadiri Pengurus Festival AFC, Dr Shamil Kamil Mohammed.

Kursus lima hari dari 20 hingga 24 Julai itu menampilkan Instruktor dan Penilai Pengadil AFC, Ismail Adnan Ismail Alhafi dari Jordan dan Instruktor Pengadil AFC, Hakan Anaz dari Australia.

Para pengadil muda yang terlibat itu terdiri daripada empat orang dari tuan rumah, Brunei Darussalam, masing-masing dua orang dari Malaysia, Myanmar, Filipina dan Vietnam, dan masing-masing seorang dari Laos, Singapura dan Thailand.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengiran Haji Mohiddin menyatakan bahawa kursus itu boleh menjadi petanda aras kepada babak pertama kerjaya pengadil setiap peserta ke arah menjadi pengadil terbaik di Asia Tenggara, lebih-lebih lagi kursus seumpamanya mampu menghasilkan pengadil masa depan yang akan mengadili perlawanan Piala Dunia.

Pengiran Haji Mohiddin ketika berucap bagi membuka rasmi Kursus Persediaan Pengadil Festival Bolasepak Serantau B14 AFC 2016.
Pengiran Haji Mohiddin ketika berucap bagi membuka rasmi Kursus Persediaan Pengadil Festival Bolasepak Serantau B14 AFC 2016.

Beliau berharap semua peserta akan menimba sebanyak mungkin ilmu di sepanjang kursus ke arah merpersiap diri mereka masing-masing menghadapi cabaran di depan iaitu menjadi pengadil rasmi festival.

Pengiran Haji Mohiddin turut menyatakan rasa berbesar hatinya menerima kedatangan dua nama besar dalam dunia pengadil iaitu Ismail Adnan dan Hakan.

Menurutnya menerusi pengetahuan dan pengalaman luas kedua-dua individu terbabit, mereka pasti akan mengongsikan semua yang diperlukan ke arah kemajuan ke peringkat lebih tinggi di samping memastikan setiap peserta mendapat maklumat terkini berkaitan penyelarasan makna Undang-Undang Permainan terkini.

Adalah penting untuk pengadil bersedia mengadili setiap perlawanan mengikut keperluan semakan Undang-Undang Permainan terkini memandangkan semakan paling menyeluruh bagi Undang-Undang Permainan dalam sejarah 130 tahun Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (International Football Association Board – IFAB) akan dihadapi oleh para pengadil, instruktor dan penilai di semua peringkat.

Hadir sama ke majlis itu ialah EXCO NFABD, Awang Zulkifle bin Haji Duraman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil NFABD, dan Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Budin.

ARTIKEL YANG SAMA