Pengadil kebanggaan negara

Pengadil kebanggaan negara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – Ia menjadi malam yang membanggakan buat Awang Hadimin bin Shahbudin apabila menjadi salah seorang daripada empat pengadil bertaraf FIFA yang dilantik AFC untuk bertugas dalam perlawanan akhir Toyota Mekong Club Championship 2015 di Supachalasai National Stadium Bangkok, Thailand.

Beliau satu-satunya pengadil Brunei Darussalam yang bertugas dalam perlawanan besar antara Buriram United dari Thailand dan Beoung Ket Angkor FC dari Kemboja itu bersama-sama dengan tiga orang pengadil dari Malaysia.

Awang Hadimin telah bertugas selaku pegawai keempat, manakala Awang Amirul Izwan bin Yaacob sebagai pengadil. Dua orang lagi pengadil dari Malaysia iaitu Awang Hamzah bin Jaafar dan Awang Shahreen bin Che Omar bertugas sebagai pembantu pengadil.

Perlawanan akhir sengit yang telah berlangsung pada malam 20 Disember lalu telah dimenangi Buriram United dengan jaringan tipis 1-0, hasil jaringan Andres Jose Tunez Arceo daripada sepakan penalti pada minit ke-68.

(Dari kiri) Awang Hamzah, Awang Hadimin (Brunei Darussalam), Awang Amirul Izwan dan Awang Shahreen.
(Dari kiri) Awang Hamzah, Awang Hadimin (Brunei Darussalam), Awang Amirul Izwan dan Awang Shahreen.

Awang Hadimin merupakan pengadil nombor satu Brunei Darussalam yang sering dilantik bertugas dalam kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.

Bulan lalu saja beliau telah dilantik AFC untuk bertugas dalam dua kejohanan berbeza bermula dengan perlawanan Kelayakan Zon Asia, Piala Dunia FIFA Rusia 2018 antara Timor-Leste dengan Arab Saudi di Dili,Timor-Leste pada 17 November 2015.

Kemudiannya beliau bertugas sebagai pengadil utama dalamThe 9th International Thanhnien Newspaper Under 21 Football Tournament (Kejohanan Bolasepak Antarabangsa Bawah 21 Tahun Akhbar Thanhnien Kali Ke-9) di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, Vietnam dari 20 November hingga 29 November 2015.

ARTIKEL YANG SAMA