Pengagihan kurma kurnia dilancarkan

Pengagihan kurma kurnia dilancarkan

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1436H/2015M yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, di sini, petang ini.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Dalam sembah alu-aluannya pada majlis tersebut Yang Berhormat Pehin berkata, pada tahun ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah membuat pembelian kurma iaitu jenis Safawi sebanyak 154 ton metrik iaitu sebanyak 513,333 kotak kecil untuk dibahagi-bahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk Islam termasuklah pekerja-pekerja asing yang beragama Islam di negara ini.

Menurut beliau, proses penghantaran kurma dari Arab Saudi telah mengambil masa selama 31 hari dengan menggunakan kapal laut yang memuatkan 12 unit kontena berhawa dingin yang sampai di Pelabuhan Muara pada 18 Mei 2015.

Dengan sempurnanya pelancaran pengagihan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia hari ini, maka bermulalah pembahagian buah kurma kurnia peribadi Baginda Sultan sempena bulan Ramadan 1436H/2015M kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini.

Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyerahkan buah kurma kurnia peribadi KDYMM untuk diagih-agihkan.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyerahkan buah kurma kurnia peribadi KDYMM untuk diagih-agihkan.

pg03_150603_c

Setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan tahap kerakyatan akan menerima kurnia satu kotak kecil buah kurma, mengandungi 300 gram.

Pada majlis tersebut Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyerahkan buah kurma kurnia peribadi KDYMM kepada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh negara serta pemerintah-pemerintah tentera serta komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan pengarah-pengarah formasi Pasukan Polis Diraja Brunei, untuk diagihkan kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka serta kepada pegawai-pegawai dan kakitangan di bawah jabatan dan unit formasi masing-masing.

Pengurniaan kurma tersebut merupakan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang menunjukkan tanda kasih dan pemedulian Baginda di samping dihasratkan juga sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan.

Pengurniaan seperti ini merupakan suatu perkara yang unik dan hanya boleh kita dapati di Negara Brunei Darussalam.

Adalah wajar bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia Baginda ini.

Sebahagian daripada penghulu dan ketua kampung yang menghadiri majlis berkenaan.
Sebahagian daripada penghulu dan ketua kampung yang menghadiri majlis berkenaan.

Pada tahun ini, kurma-kurma kurnia peribadi itu dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi. Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Pada Majlis itu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengagihkan buah kurma kurnia peribadi Baginda Sultan kepada mereka yang berkenaan.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Yahya.

Hadir di majlis itu ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Pegawai-pegawai Daerah, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung serta ketua-ketua rumah panjang dari seluruh negara, pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan wakil-wakil dari Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung.

ARTIKEL YANG SAMA