Pengagihan pakaian dapat sambutan

Pengagihan pakaian dapat sambutan

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 15 Mei – Keriangan dan senyuman yang terpamer pada setiap wajah pengunjung yang datang pada Majlis Pengagihan Pakaian Kepada Golongan Yang Memerlukan di Dewan Serambangun, Tutong, hari ini, menjadikan segala usaha dan keringat petugas sukarelawan terasa amat berbaloi sekali.

“Mengapa kami lakukan kerja-kerja amal ini merupakan persoalan yang sering diajukan. Ia sebenarnya lahir daripada jiwa yang ingin membantu dan bagi saya, perasaan kesukarelawanan itu sudah wujud sejak usia muda lagi hingga sekarang.”

Oleh itu, semangat kesukarelawanan itu perlu ada agar dapat melaksanakan tugas itu dan membantu golongan yang memerlukan, jelas Setiausaha Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Dayang Hamidah binti Lakem semasa majlis itu.

Beliau menyatakan MKM terus mendapatkan sokongan daripada orang ramai dan kumpulan sukarelawan yang sama-sama tampil ke hadapan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik yang mana sejak projek menderma dan mengumpul pakaian terpakai dilaksanakan bermula Januari hingga Mei lalu, ribuan helai pakaian berjaya dikumpulkan, dibahagikan dan diagih-agihkan melalui acara pengagihan seperti yang dijalankan di sini.

Kata Dayang Hamidah lagi, lebih 500 kotak pakaian dibawa ke dewan ini bagi pengagihan kepada golongan yang memerlukan di Daerah Tutong dan Belait, yang mana setiap keluarga atau mereka yang memerlukan boleh memilih sendiri pakaian yang diperlukan tanpa dikenakan sebarang had.

Ahli-ahli MKM bersama mereka yang hadir memilih pakaian semasa majlis pengagihan yang diadakan di Dewan Serambangun, Tutong.
Ahli-ahli MKM bersama mereka yang hadir memilih pakaian semasa majlis pengagihan yang diadakan di Dewan Serambangun, Tutong.

Acara pengagihan itu merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama berjaya dilaksanakan di Daerah Temburong, baru-baru ini, ujarnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa acara itu menarik kira-kira 60 buah keluarga ataupun kira-kira 300 orang, untuk memilih pakaian-pakaian yang ada iaitu daripada pakaian kanak-kanak hinggalah ke pakaian orang dewasa.

Dalam pada itu, katanya lagi, ahli-ahli MKM dan juga sukarelawan telah melaksanakan proses pengasingan jika mendapati pakaian yang disumbangkan tidak sesuai untuk dipakai semula atau dalam keadaan yang kurang baik dan hanya memastikan pakaian yang baik sahaja akan diagihkan.

Pakaian-pakaian itu juga diasingkan mengikut saiz dan dilabelkan mengikut jenis pakaian iaitu pakaian lelaki dan perempuan serta juga pakaian untuk kanak-kanak atau orang dewasa.

Pengagihan pakaian itu diharap dapat membantu golongan yang memerlukan mendapatkan pakaian tanpa perlu membelinya serta membawa keriangan kepada mereka semasa musim perayaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Menurut Dayang Hamidah, MKM juga telah merancang beberapa projek bagi menceriakan golongan yang memerlukan semasa meraikan bulan Ramadan dan Syawal nanti termasuk mengadakan program bersungkai dan program tajaan keluarga yang akan dilaksanakan nanti.

Di samping itu, pihak MKM ingin menyatakan penghargaan kepada semua sukarelawan yang tampil ke hadapan untuk menjayakan projek MKM termasuk ahli-ahli MKM dan penuntut-penuntut Universiti Brunei Darussalam yang meluangkan masa untuk mengasingkan, memilih dan mengedarkan pakaian-pakaian berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA