Pengakap Brunei sertai Jambori di Jepun

Pengakap Brunei sertai Jambori di Jepun

pg02_150728_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Seramai tiga pemimpin pengakap dan enam ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam akan menyertai Jambori Pengakap Sedunia ke-23 yang akan diadakan di Kirarahama, Yamaguchi, Jepun bermula esok hingga 8 Ogos ini.

Jambori selama tujuh hari itu menyediakan pelbagai aktiviti berorientasikan kemahiran dan cabaran yang direka untuk menguji ketahanan fizikal dan mental serta sebagai landasan berkongsi idea dikalangan peserta-peserta.

Sebelum rombongan tersebut berlepas pagi tadi, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah menyerahkan bendera kebangsaan kepada pemimpin Pasukan Tunas Pengakap yang juga selaku ketua kontinjen.

Seramai dua orang pemimpin pasukan pengakap dan sembilan ahli Pengakap Remaja menyertai jambori tersebut. Lebih 30 ribu orang pengakap dari seluruh dunia dijangka akan menyertai jambori kali ini.

Juga hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar ialah Yang DiPertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Pengarah Belia dan Sukan, Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad, Setiausaha Agung Haji Zainuddin bin Haji Japar, Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Zali bin Haji Arsad, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap serta pemimpin-pemimpin pengakap.

ARTIKEL YANG SAMA