Pengakap kukuh ikatan kekeluargaan

Pengakap kukuh ikatan kekeluargaan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 10 Mei – Institusi keluarga penting dalam pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang berintegrasi tinggi dan ia diibaratkan tiang yang menjadi aras kepada sebuah rumah untuk berdiri megah, yang mana kekukuhan institusi tersebut akan mampu melahirkan masyarakat sejahtera dan cemerlang, berdaya maju serta berdaya tahan.

Kepentingan institusi keluarga ini adalah antara yang ditekankan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Skip Haji Mohd Salleh bin Haji Ahmad, selaku pengerusi bersama Majlis Hari Keluarga Pengakap, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang berlangsung di Pantai Kampung Sungai Liang dekat sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Pegawai Daerah Belait Awang Haji Haris bin Othman dan isteri.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Dr Haji Idris bin Haji Abas dan datin, Penghulu Mukim Liang, Haji Abdul Hamid bin Momin, ketua-ketua kampung, para pegawai kerajaan, pemimpin dari beberapa buah persatuan, ahli-ahli pengakap serta penduduk persekitaran Kampung Sungai Liang.

Pegawai Daerah Belait melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Bencana Gempa Bumi di Nepal.
Pegawai Daerah Belait melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Bencana Gempa Bumi di Nepal.
Kanak-kanak tidak ketinggalan menyertai beberapa permainan sukan ria yang disediakan pada Hari Keluarga Pengakap.
Kanak-kanak tidak ketinggalan menyertai beberapa permainan sukan ria yang disediakan pada Hari Keluarga Pengakap.

Di samping menggalakkan ibu bapa dan anak-anak mereka meluangkan masa bersama ahli keluarga dalam mengukuhkan dan meningkatkan kesejahteraan, acara Hari Keluarga ini juga bertujuan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan agensi-agensi luar dalam mengungkayahkan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat.

Acara bertema ‘Warga Pengakap Generasi Berwawasan’ itu telah dihadiri lebih 100 orang dengan beberapa acara menarik telah dimuatkan termasuk sukan ria, persembahan muzik tradisional, pameran dan bazar jualan.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Bencana Gempa Bumi di Nepal bagi Persekutuan Pengakap yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA