Pengakap Temburong lancar Kumpulan Sukarelawan

Pengakap Temburong lancar Kumpulan Sukarelawan

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 23 Dis – Dalam usaha menabur khidmat dan melakukan kebajikan kepada masyarakat, Persatuan Pengakap Daerah Temburong baru-baru ini melancarkan Kumpulan Sukarelawan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Muafakat Jabatan-jabatan Kerajaan Dearah Temburong.

Hadir merasmikan majlis pelancaran Kumpulan Sukarelawan itu ialah Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah yang turut menyampaikan sijil lantikan kepada sembilan orang sukarelawan pengakap baru.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin-pemimpin Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

Gambar ramai Kumpulan Sukarelawan Pengakap yang dilancarkan baru-baru ini.
Gambar ramai Kumpulan Sukarelawan Pengakap yang dilancarkan baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Haji Abdul Rahman bin Merusin dalam ucapan ringkas menjelaskan, kumpulan sukarelawan ini akan diketuai seorang ketua dan bertindak sebagai pembantu kepada masyarakat kampung atau sesiapa yang memerlukan bantuan.

Masyarakat kampung atau agensi yang memerlukan bantuan hanya perlu memohon kepada Pesuruhjaya Persatuan Pengakap cawangan Daerah Temburong.

Beliau seterusnya juga berharap ahli sukarelawan ini akan sentiasa bersiap sedia bila diperlukan dan pihak persatuan juga akan memberikan mereka program-program kesukarelawan yang bersesuaian dari semasa ke semasa.