Pengakap Tunas dinaiktaraf

Pengakap Tunas dinaiktaraf

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Kesinambungan di dalam meneruskan penglibatan yang berterusan serta aktif dalam pergerakan pengakap telah terbukti apabila ahli Pengakap Tunas telah dinaikkan ke Bahagian Pengakap Muda dalam Majlis Istiadat Meningkat Naik Ahli Pengakap Tunas ke Bahagian Pengakap Muda, hari ini.

Majlis tersebut yang diadakan di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Jalan Gadong itu juga diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Anugerah Lencana Pengakap Tunas iaitu Lencana ‘Link’, Lencana Anak Panah Gangsa, Lencana Anak Panah Perak dan Lencana Anak Panah Emas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyampaikan anugerah lencana tertinggi Pengakap Tunas kepada ahli-ahli Pengakap Tunas ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi; pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Perempuan; Pesuruhjaya Bahagian Perhubungan Awam dan Penerbitan, Awang Mohammad Syahmi bin Halimshah; Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak, pemimpin-pemimpin dan penolong-penolong pemimpin Pasukan Pengakap Tunas.

Ahli-ahli Pengakap Tunas yang diraikan di dalam majlis tersebut merupakan pelajar-pelajar Tahun 6 daripada Pasukan Pengakap Tunas 1080 Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok, Pasukan Pengakap Tunas 1021 Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Pasukan Pengakap Tunas 1054 Sekolah Rendah Datu Ahmad dan Pasukan Pengakap Tunas 1084 Sekolah Rendah Tungku pada 2016 yang akan meninggalkan alam Pengakap Tunas untuk menjadi ahli Pengakap Muda apabila mereka mula bersekolah di sekolah menengah pada 2017.

Ahli Pengakap Tunas menerima Lencana ‘Link’ daripada Haji Awang Badar.
Ahli Pengakap Tunas menerima Lencana ‘Link’ daripada Haji Awang Badar.
Penerima lencana Pengakap Tunas bergambar ramai bersama Haji Awang Badar.
Penerima lencana Pengakap Tunas bergambar ramai bersama Haji Awang Badar.

Upacara yang dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin Pasukan Pengakap Tunas itu merupakan satu acara kemuncak dan tanda penghargaan terhadap penglibatan ahli-ahli Pengakap Tunas ini di sepanjang tahun-tahun mereka menjadi ahli Pengakap Tunas.

Penglibatan mereka dalam pergerakan pengakap juga diharap dapat diteruskan dalam sama-sama menambah ilmu pengetahuan yang berguna apabila mereka mula memasuki alam persekolahan di peringkat sekolah menengah nanti. Terdahulu sebelum upacara dijalankan, Bahagian Perhubungan Awam dan Penerbitan PPNBD telah mengadakan program ‘Movie A Thon’ sempena sambutan 100 tahun Pengakap Tunas Sedunia, di mana ahli-ahli Pengakap Tunas telah menyaksikan tayangan filem yang sangat popular berjudul ‘The Jungle Book’.

PPNBD yang telah ditubuhkan pada 1933 mempunyai empat bahagian utama iaitu Bahagian Pengakap Tunas terdiri daripada pelajar Tahun 2 hingga Tahun 6 di sekolah rendah, Bahagian Pengakap Muda terdiri daripada pelajar Tahun 7 hingga Tahun 9 di sekolah menengah bawah, Bahagian Pengakap Remaja yang terdiri daripada pelajar Tahun 10 hingga Tahun 11 di peringkat sekolah menengah atas dan Bahagian Pengakap Kelana terdiri daripada pelajar-pelajar yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi atau kolej serta belia-belia yang berumur dari 18 tahun hingga 26 tahun.

Sebahagian ahli Pengakap Tunas sedang menonton tayangan filem ‘The Jungle Book’.
Sebahagian ahli Pengakap Tunas sedang menonton tayangan filem ‘The Jungle Book’.

Pergerakan Pengakap Tunas Sedunia mula ditubuhkan 100 tahun yang lalu oleh pengasas Pengakap Sedunia, Robert Stephenson Smyth Baden-Powell atau lebih dikenali dengan nama Lord Baden Powell yang telah menggunakan cerita di dalam buku ‘The Jungle Book’ sebagai bahan yang sesuai digunakan untuk membina perwatakan di dalam Pengakap Tunas.

Seperti contoh, nama ‘Akela’ masih diguna pakai untuk panggilan kepada Pemimpin Pengakap Tunas serta ‘Istiadat Laung Agong’ dan ahli-ahli Pengakap Tunas ini mesti mengetahui semua jalan cerita di dalam buku ‘The Jungle Book’ sebelum mereka diterima menjadi sebagai ahli Pengakap Sedunia.

Tujuan program itu diadakan adalah untuk memberi peluang kepada ahli-ahli Pengakap Tunas untuk melihat dan memahami serta menghayati sendiri secara langsung jalan cerita tersebut dan mengalami suasana seperti di dalam panggung wayang bersama rakan-rakan sebaya mereka.

ARTIKEL YANG SAMA