Pengakap Tutong miliki bangunan baru

Pengakap Tutong miliki bangunan baru

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 30 Nov – Persatuan Pengakap Daerah Tutong telah mencapai satu mercu tanda bersejarah yang tersendiri apabila memiliki sebuah bangunan kekal yang baru bagi ibu pejabat pentadbirannya yang terletak di Bukit Bendera, di sini.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Tutong berkenaan telah diadakan hari ini yang dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam, Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas, dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Brunei Darussalam, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Pada majlis itu, Haji Adnan menyerahkan kunci bangunan berkenaan kepada tetamu kehormat yang kemudiannya menyerahkannya kepada Dato Paduka Haji Idris dan seterusnya kepada Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Tutong, Haji Musa bin Haji Libut.

Terdahulu, acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan bacaan Ikrar Pengakap yang merupakan tradisi memulakan aktiviti pengakap.

Awang Wardi dan Haji Adnan memotong ribon sebagai perasmian bangunan Ibu Pejabat Pengakap Daerah Tutong yang baru.
Awang Wardi dan Haji Adnan memotong ribon sebagai perasmian bangunan Ibu Pejabat Pengakap Daerah Tutong yang baru.

pg12_151201_b

Tetamu kehormat menyaksikan pameran bergambar dan pameran model-model peralatan yang sering dibuat oleh pengakap-pengakap yang pernah menjalankan aktiviti.
Tetamu kehormat menyaksikan pameran bergambar dan pameran model-model peralatan yang sering dibuat oleh pengakap-pengakap yang pernah menjalankan aktiviti.

Awang Wardi turut menyaksikan pameran bergambar mengenai sejarah Pengakap Daerah Tutong serta pameran model-model peralatan yang sering dibuat oleh para pengakap yang pernah menjalankan aktiviti-aktiviti seperti perkhemahan Jamboree kebangsaan dan antarabangsa.

Persatuan Pengakap Daerah Tutong mula diperkenalkan pada tahun 1936 dan diasaskan oleh Allayarham Dato Paduka Haji Othman bin Bidin.

Pergerakan pengakap pada masa itu hanya beroperasi di Bangunan Sekolah Rendah sebagai Pusat Pentadbiran Persatuan Pengakap bermula pada tahun 1982 hingga 1986 di PWD1, Jalan Abdul Rahim, Bukit Bendera.

Namun pada tahun 1995, persatuan kemudian berpindah ke PWD 2, Jalan Abdul Rahim di Bukit Bendera sehingga pada tahun 2011 apabila bangunan tersebut telah diisytiharkan rosak dan tidak selamat digunakan.

Dengan bantuan Jabatan Daerah Tutong, persatuan berkenaan kini memiliki bangunan kekal untuk dijadikan ibu pejabat dan ditadbirkan oleh Majlis Pengakap Daerah Tutong yang diketuai oleh Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Tutong, Haji Musa dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tutong, Awang Sulaiman bin Haji Sihiek.

ARTIKEL YANG SAMA