Pengalaman, amalan baik pikat Timor-Leste

Pengalaman, amalan baik pikat Timor-Leste

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Bagi mempelajari dan menimba pengalaman serta amalan baik dalam membangunkan sesebuah negara, rombongan Republik Demokratik

Timor-Leste yang diketuai Presiden Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan C-Kewangan Republik Demokratik Timor-Leste, Virgilio Maria Dias Marcal akan berada di negara ini selama lima hari sehingga 22 Julai ini.

Hari ini, Virgilio dan rombongannya yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen dan beberapa orang pegawai telah membuat kunjungan muhibah kepada Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.

Kunjungan tersebut merupakan satu pendekatan dan peluang bagi kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan mengenai langkah-langkah kerjasama yang boleh diwujudkan antara kedua-dua negara.

Sebagai negara baru dan asas ekonominya yang sama dengan Negara Brunei Darussalam, isu kejatuhan harga minyak juga dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara bergambar ramai bersama rombongan Timor-Leste yang diketuai oleh Virgilio Maria Dias Marcal.
Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara bergambar ramai bersama rombongan Timor-Leste yang diketuai oleh Virgilio Maria Dias Marcal.

Selain pembangunan ekonomi, Vigilo juga berharap supaya para pengusaha dari negara ini akan melabur dalam pelbagai peluang perusahaan yang ada di Timor-Leste.

Selepas kunjungan tersebut, rombongan berkenaan turut dibawa melawat ke tempat-tempat utama di Bangunan Dewan Majlis Mesyuarat Negara.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Jaafar, Yang Berhormat Haji Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman dan Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad.