Pengalaman bantu capai kejayaan

Pengalaman bantu capai kejayaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie,

Imelda Groves HA & Lenna N.B

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Pengalaman bekerja bersama beberapa organisasi seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Pertahanan dalam membangunkan peralatan rehabilitasi terhadap atlet dan tentera, merupakan salah satu faktor yang membantunya mencapai kejayaan.

Graduan kedoktoran dalam pengajian komputer, Owais Ahmed Malik dari Pakistan berkata, pengalaman ketika itu dimanfaatkan sebaiknya kerana ia banyak berkaitan dengan jurusan yang diambilnya.

Beliau yang ditemui di Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) ke-27, hari ini, menyatakan perasaan berbesar hati dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana menganugerahkan biasiswa kepadanya.

“Selepas ini saya akan menerbitkan buku dan akan terus berusaha mempertingkatkan penyelidikan kepada sistem yang sebelum ini saya usahakan. Kali ini bersama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha,” ujarnya lagi.

Sherly Sellina bersama ibu bapa dan adiknya yang berjaya menerima sijilnya.
Sherly Sellina bersama ibu bapa dan adiknya yang berjaya menerima sijilnya.
Owais Ahmed Malik.
Owais Ahmed Malik.
Nadianita Achong.
Nadianita Achong.

Menurut Owais, beliau telah membuat beberapa permohonan di beberapa institusi pengajian serta melalui beberapa siri temu duga dan kini hanya menunggu jawapan kerja.

Di sepanjang tiga tahun pengajiannya beliau sangat menghargai rakan-rakan seperjuangan dan mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menerima sijil masing-masing hari ini.

“Sememangnya kerja penyelidikan dan pengajian bukan sesuatu yang mudah dan ia perlu diberikan fokus serta perhatian penuh. Sikap acuh tak acuh atau melambat-lambatkan kerja akan memberikan kesan tidak baik dalam pengajian dan pencapaian kita,” tegasnya lagi.

Sementara itu wartawan akhbar Borneo Bulletin, Achong Tanjung turut meraikan anaknya, Nadianita yang berjaya menerima sijil dalam ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah.

Menurut Achong, beliau amat besar rasa hati melihat anaknya naik menerima sijil kejayaan setelah beberapa tahun berhempas pulas dalam pelajarannya dan ia adalah kejayaan yang sangat dinanti-nantikan.

“Sebagai Ibu bapa kita perlu terus- menerus mengingatkan supaya anak-anak membuat pilihan yang terbaik dan tekun dalam apa jua bidang yang diceburi kerana kejayaan hari ini bukan yang terakhir malah ia merupakan satu langkah untuk terus melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai bapa beliau ingin melihat anaknya mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan namun tidak menghalang jika anaknya ingin melanjutkan lagi pengajiannya di dalam Ijazah sarjana yang dimahukannya.

“Kita sebagai ibu bapa tidak boleh mengongkong anak namun perlu pula memantau dengan lebih dekat akan perkembangan mereka baik daripada aspek akademik, aktiviti dan sosial mereka kerana dengan sikap terbuka kita akan memberikan mereka perasaan dihargai atas keputusan yang diambilnya,” tambah Achong sambil mengingatkan para graduan supaya jangan memilih kerja.

Janganlah hanya mengharapkan kerja dengan kerajaan sehingga lupa akan peluang yang mungkin setaraf di pihak swasta, katanya.

Seperti Achong, Sherly Selina binti Awang Sigar pula memberitahu Media Permata bahawa adik perempuannya sememangnya seorang yang gigih berusaha sejak dari dahulu lagi baik dalam pengajian mahupun aktiviti yang disertainya.

Menurut Sherly, adiknya sentiasa menunjukkan semangat tinggi dalam mencapai hasrat dan sasarannya.

“Untuk melihat beliau naik menerima sijil dan menggembirakan hati ibu bapa saya sebagai kakak berasa sangat terharu dan bangga dengan pencapaian Marylina yang berjaya menerima ijazah Sarjana Muda Sastera (Sosiologi & Antropologi).

“Saya mendoakan semoga beliau akan mencapai impian dan cita-citanya dan nasihat ini juga ditujukan kepada semua graduan yang berjaya menerima sijil masing-masing hari ini dan semangat mereka memberikan diri semangat untuk mula memikirkan untuk melanjutkan pelajar sendiri, ” ujar Sherly kepada Media Permata lagi.

Seorang lagi graduan yang sempat ditemu bual, Hajah Siti Norsyahdina Sabrina binti Haji Salehuddin berkata, menetapkan keutamaan membantunya mengimbangkan diri dalam pelajaran, perniagaan dan hidup.

“Pelajaran adalah keutamaan saya dan ia dilengkapi dengan perniagaan yang saya jalankan yang sememangnya tidak membebankan dan apa yang sangat perlu ialah cara mengatur masa supaya ia tidak bercampur aduk,” ujar graduan Sarjana Muda Perniagaan dan Pentadbiran itu.

Beliau yang baru saja melahirkan anak lelaki beberapa minggu lalu, berasa sangat bermotivasi untuk meneruskan pengembaraan akademiknya kerana baginya ia bukan sahaja untuk dirinya sendiri malah untuk suami dan keluarganya yang disayangi.

“Sebelum ini saya mengambil jurusan lain di Universiti Queensland, namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan saya mengubah hala ke Universiti Brunei Darussalam untuk meneruskan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan dan Pentadbiran yang pada saya adalah keputusan yang terbaik,” tegasnya lagi.

Apabila ditanya mengenai perniagaannya dan jika ditawarkan pekerjaan tetap, beliau berkata, kerjaya dan perniagaan adalah dua bidang yang berbeza dan saya pasti dapat meneruskan kedua-duanya kerana di mana ada usaha pasti ganjaran akan kita terima.

“Jangan putus harapan dan sentiasa memandang ke hadapan dan teruskan hidup dengan sandaran kepada masa hadapan yang lebih gemilang untuk terus berjaya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada suami, keluarga dan kepada semua pihak yang mendampingi saya dalam kejayaan hari ini,” tegasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA