Pengalaman berharga bersama pelajar istimewa

Pengalaman berharga bersama pelajar istimewa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Peluang untuk mengadakan kegiatan bersama pelajar-pelajar istimewa Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam memberikan pengajaran dan pengalaman yang berguna untuk membuka mata para pelajar bukan sahaja mendekati pelajar-pelajar di pusat berkenaan tetapi juga menanam semangat kesukarelawanan dalam kalangan para pelajar.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Pelajar Brunei-New Zealand, Dayang Syazirah Kuan kepada Media Permata semasa lawatan persatuan berkenaan ke Pusat Ehsan, Bengkurong, hari ini.

Menurut Dayang Syazirah, lawatan itu merupakan lawatan sambil belajar pertama bagi persatuan berkenaan ke pusat itu yang disertai seramai 23 orang iaitu 16 orang ahli persatuan dan tujuh orang rakan serta ahli keluarga ahli persatuan berkenaan.

Beliau berkata para ahli persatuan merupakan pelajar Brunei dalam pelbagai jurusan yang menuntut di University of Otago, New Zealand dan lawatan itu merupakan salah satu kegiatan tahunan yang diadakan semasa percutian musim panas bagi ahli-ahli persatuan.

Para pelajar istimewa Pusat Ehsan bersama-sama ahli persatuan berseronok dengan salah satu kegiatan permainan yang diadakan.
Para pelajar istimewa Pusat Ehsan bersama-sama ahli persatuan berseronok dengan salah satu kegiatan permainan yang diadakan.

Menurut Dayang Syazirah, pengalaman bersama para pelajar istimewa dan kakitangan Pusat Ehsan mendedahkan kepada mereka suasana kehidupan yang jarang disaksikan dan membuka minda serta membakar semangat kesukarelawanan mereka.

Beliau menyatakan rasa kagum dengan program pendidikan yang dilaksanakan oleh pusat berkenaan serta kerja-kerja yang dilaksanakan oleh sukarelawan-sukarelawan yang membantu mendidik para pelajar istimewa di pusat itu.

Beliau juga melahirkan harapan lawatan pertama mereka itu akan membuka ruang untuk mengembangkan lagi kerjasama dan kegiatan yang dapat dilaksanakan bersama oleh persatuan itu dengan Pusat Ehsan.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap ahli-ahli persatuan akan terus memberikan sokongan kepada Pusat Ehsan serta mencari kaedah yang terbaik untuk mengembangkan lagi kerjasama dan kegiatan yang diadakan bersama terutama dalam bidang kesukarelawanan.

Dayang Syazirah turut menyatakan harapan dengan kehadiran mereka di pusat itu, para pelajar dapat mempelajari dan menimba pengalaman yang berguna kerana bagi mereka pengalaman bersama pelajar-pelajar istimewa itu walaupun singkat telah banyak memberikan mereka pengajaran hidup yang amat berguna.

Kumpulan ahli persatuan bersama rakan-rakan dan keluarga mereka berpeluang untuk menghabiskan masa sehari bersama dengan pelajar-pelajar istimewa Pusat Ehsan di mana di sebelah pagi mereka berpeluang untuk menyaksikan kegiatan pelajar-pelajar istimewa berkenaan termasuk pembelajaran kemahiran kehidupan.

Di sebelah petang, kumpulan persatuan itu mengadakan kegiatan permainan bersama-sama mereka dan kakitangan pusat itu.

ARTIKEL YANG SAMA