Pengalaman berharga buat saudara-saudara baru

Pengalaman berharga buat saudara-saudara baru

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 13 Sept – Saudara-saudara baru di daerah ini turut merasai pengalaman baru dalam meraikan Hari Raya Aidiladha bersama Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) dan Badan Kebajikan Saudara-saudara Baru Kampung Kiudang (BASKIM) yang mengungkayahkan Majlis Ibadah Korban dan Akikah bagi tahun ini, di dua tempat berasingan.

PESATU pada tahun ini telah menumbangkan sebanyak dua ekor sapi dan seekor kerbau yang diadakan di Dewan PESATU, Kampung Lubok Pulau, Tutong, pagi tadi.

Hadir menyampaikan agihan daging-daging korban kepada kira-kira 60 orang terdiri daripada asnaf fakir miskin dan ahli-ahli PESATU ialah Penasihat PESATU, Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Lubok Pulau, Haji Abdul Rahman bin Samad dan Yang Di-Pertua PESATU, Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat.

Sebelum majlis pengagihan, ahli-ahli PESATU bersama keluarga mereka juga bergotong-royong melapah dan membahagikan daging-daging berkenaan pada sebelah pagi.

Penasihat BASKIM ketika menyampaikan agihan daging korban kepada para penerima.
Penasihat BASKIM ketika menyampaikan agihan daging korban kepada para penerima.
Majlis pengagihan daging korban disampaikan oleh Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman.
Majlis pengagihan daging korban disampaikan oleh Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman.

Aktiviti sedemikian menjadi pengalaman yang berharga buat saudara-saudara baru yang menyertai majlis itu, yang mana sekali gus dapat menyaksikan pelaksanaan ibadah korban dengan lebih dekat terutama dalam mengetahui konsep penyembelihan menurut agama Islam.

Selain dapat mengeratkan hubungan sesama ahli-ahli PESATU, majlis itu juga merupakan aktiviti tahunan PESATU dalam sama-sama memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha dan menyemarakkan lagi upacara-upacara hari kebesaran Islam di negara ini.

Sementara itu, Majlis Korban BASKIM telah diadakan di rumah Penasihat BASKIM, Haji Umarali bin Esong di Kampung Kiudang, kelmarin.

Pada tahun ini, sebanyak dua ekor kerbau iaitu seekor untuk ibadah korban dan seekor pula untuk akikah telah dikorbankan.

Acara bergotong-royong melapah daging korban yang dijalankan oleh ahli keluarga BASKIM.
Acara bergotong-royong melapah daging korban yang dijalankan oleh ahli keluarga BASKIM.

Pengagihan daging-daging korban dan akikah telah disempurnakan oleh Haji Umarali kepada para peserta korban, ahli-ahli BASKIM, saudara-saudara baru dan para penduduk kampung.

Selain itu, daging-daging berkenaan juga dimasak dan disajikan kepada hampir 100 orang yang hadir pada majlis berkenaan.

Pada malam Hari Raya Korban, BASKIM juga mengadakan aktiviti bertakbir dari rumah ke rumah ahli-ahli BASKIM dan keluarga.

Majlis Ibadah korban yang diadakan itu merupakan salah satu aktiviti tahunan BASKIM bagi menyemarakkan lagi hari-hari kebesaran Islam dan sebagai usaha untuk memperkukuhkan ikatan silaturahim dan ukhuwah sesama masyarakat Islam.

ARTIKEL YANG SAMA