Pengalaman berkhidmat di Brunei, paling manis

Pengalaman berkhidmat di Brunei, paling manis

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam terus dipertingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebudayaan, pertanian perdagangan dan pertahanan.

Hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara itu terus melalui perkembangan positif dan usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan serta meneroka peluang-peluang kerjasama yang baru, kata Duta Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Nguyen Thruong Giang.

“Semasa tempoh perkhidmatan saya, hubungan di antara kedua-dua buah negara terus berkembang secara positif dalam pelbagai bidang seperti pertanian, kebudayaan, pendidikan dan pertahanan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Tengah hari Perpisahan baginya di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong hari ini. Beliau akan menamatkan perkhidmatannya di negara ini tidak lama lagi.

Menurutnya, sepanjang berkhidmat di Negara Brunei Darussalam, pelbagai perjanjian dan mercu tanda penting di antara kedua-dua buah negara telah dicapai termasuk perkembangan daripada segi perdagangan dua hala serta penerokaan kerjasama bidang pertanian.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan bidang pertanian itu, Nguyen berkata bahawa semasa tempoh perkhidmatannya, beliau berpeluang untuk membawa masuk pakar pertanian dari Vietnam untuk melawat dan melihat dengan lebih dekat ladang pertanian di Brunei terutama ladang padi negara.

Nguyen semasa menyampaikan ucapan perpisahan beliau.
Nguyen semasa menyampaikan ucapan perpisahan beliau.

Tambah beliau, maklum balas daripada pakar berkenaan menyatakan bahawa Brunei mempunyai potensi yang besar dalam bidang pertanian dan hasrat untuk mencapai sara diri daripada segi penghasilan padi itu, boleh dicapai oleh Brunei.

Beliau turut berharap bahawa Duta Vietnam ke Negara Brunei Darussalam yang baru akan meneruskan lagi usaha untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan mengeratkan hubungan persahabatan di antara rakyat dan penduduk di antara kedua-dua buah negara.

Menyentuh mengenai pengalaman berkhidmat di Negara Brunei Darussalam, Nguyen berkata, sepanjang perkhidmatan lebih empat tahun, beliau merasa amat gembira diberikan peluang untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya dan sejarah masyarakat Brunei serta berpeluang untuk menjalinkan hubungan persahabatan yang erat bukan sahaja dalam kalangan rakan-rakan Kor Diplomatik tetapi juga penduduk dan rakyat Brunei.

Ahli-ahli Kor Diplomatik bergambar-ramai sebelum Majlis Makan Tengah Hari Perpisahan diadakan.
Ahli-ahli Kor Diplomatik bergambar-ramai sebelum Majlis Makan Tengah Hari Perpisahan diadakan.

“Tempoh perkhidmatan saya di Negara Brunei Darussalam merupakan masa yang paling gembira bagi saya sepanjang 40 tahun kerjaya diplomatik saya dan saya melihat Brunei sebagai sebuah negara yang indah, dengan pelbagai khazanah budaya yang berharga dan saya berharap Brunei akan terus menikmati keamanan dan kemakmuran.”

Sementara itu, Doyen Kor Diplomatik dan Duta Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Saleh Mohammed Al-Nesef dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada Nguyen atas kerjasama dan persahabatan yang dikongsi oleh semua ahli Kor Diplomatik.

Beliau turut menyatakan harapan supaya Nguyen akan terus mendapat kejayaan dalam tugasnya yang baru serta juga mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli Kor Diplomatik yang baru.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan supaya ahli-ahli Kor Diplomatik akan terus memberikan sokongan dan komitmen dalam melaksanakan pelbagai program yang dijalankan.

Sementara itu, Nguyen dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada semua ahli Kor Diplomatik atas sokongan dan persahabatan mesra yang ditunjukkan kepada dirinya sepanjang tempoh perkhidmatan di mana ia menunjukkan bahawa semua negara mampu untuk bekerja dan hidup bersama dengan aman-damai.

ARTIKEL YANG SAMA