Pengalaman bernilai para pelajar TPJC

Pengalaman bernilai para pelajar TPJC

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG – Rombongan pelajar dari Kolej Tampines Junior (TPJC) Singapura yang berada di negara ini bagi Program Sekolah Berkembar (School Twinning Programme) antara sekolah-sekolah menengah dua buah negara iaitu TPJC, Singapura dan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) Brunei, telah mengakhiri lawatan mereka hari ini dan akan berlepas pulang esok.

Sepanjang berada di negara ini selama lima hari, para pelajar dan guru mereka telah berpeluang melawat ke beberapa buah tempat menarik di samping berpeluang menimba pengalaman pendidikan di PTET.

Beberapa orang pelajar dari TPJC yang ditemui memberitahu mereka mempunyai pengalaman menarik sepanjang berada di negara ini.

Salah seorang daripada mereka, Richard Yap berkata, mereka turut berpeluang mengenali budaya Brunei yang sangat kaya dan unik serta mempelajari sejarah Brunei dan seterusnya berpeluang menikmati hidangan makanan Brunei.

Sementara itu, bagi Mou Yan Qiao, ia merupakan satu pengalaman yang berharga dan baru kepada mereka sebagai pelajar kerana mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

Gambar ramai bersama pelajar-pelajar TPJC dan PTET.
Gambar ramai bersama pelajar-pelajar TPJC dan PTET.
Rombongan TPJC berpeluang melawat ke Kilang Sagu, Ukong.
Rombongan TPJC berpeluang melawat ke Kilang Sagu, Ukong.

Namun, dengan adanya layanan penduduk Brunei yang sangat peramah, mereka amat berterima kasih dan mereka benar-benar teruja mengalami budaya Brunei.

Manakala itu, beberapa pelajar lain seperti Lukman Hakim bin Yusof, Sri Erfy Arriany binti Hasby dan Nur Khalishah binti Roslan pula melahirkan hasrat untuk datang kembali ke negara ini bersama keluarga untuk menikmati lagi keindahan budaya dan di negara ini.

Antara tempat-tempat yang dilawati ialah Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Muzium Teknologi Melayu, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Ladang Singgoh di Kampung Lamunin, Kilang Sagu di Kampung Ukong, Perusahaan Minyak Kelapa Dara di Tanjong Maya dan banyak lagi.

Delegasi TPJC diketuai oleh tiga orang guru yang berpengalaman iaitu guru biologi, Leong Kim Lian Lanet, guru Bahasa Melayu, Rosemah Rashid dan tutor kimia, Chen Zheng Yu.

Selain lawatan, menerusi program itu juga, guru-guru TPJC turut memerhatikan beberapa pembelajaran kelas di PTE dan bertukar-tukar strategi pengajaran dan pembelajaran yang berguna dengan guru-guru yang mereka perhatikan.

Dengan bertemakan ‘Menjalin hubungan pendidikan dengan lebih dekat’, program ini bertujuan untuk meningkatkan pendidikan dan mengukuhkan kerjasama pendidikan di antara Brunei dan Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA