Pengalaman hebat di taman safari Bangladesh

Pengalaman hebat di taman safari Bangladesh

DHAKA – Bagi Md. Alamgir, isteri dan dua orang anaknya, melawat Taman Safari Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman merupakan pengalaman pertama mereka menemui hidupan liar eksotik.

Taman itu, terletak di Gazipur, kawasan luar ibu negara Bangladesh, Dhaka, kini merupakan antara tarikan yang paling popular di negara Asia Selatan itu.

Berpuluh ribu orang pelawat dari luar negara dan juga tempatan, seperti Alamgir dan keluarganya, melawat taman itu setiap hari.

“Saya datang ke sini bersama keluarga saya dan kami melalui saat menakjubkan di taman safari ini,” kata Alamgir kepada Xinhua.

“Anak-anak saya begitu gembira kerana kami berpeluang melihat pelbagai jenis burung, gajah-gajah dan ikan. Kami juga rasa seronok menaiki sebuah bot dan melihat haiwan-haiwan eksotik. Ia begitu menyeronokkan,” katanya.

Taman itu dikatakan menerima antara 20,000 hingga 30,000 orang pelawat setiap hari.
Taman itu dikatakan menerima antara 20,000 hingga 30,000 orang pelawat setiap hari.
Peluang menunggang gajah merupakan antara tarikan besar di taman safari itu.
Peluang menunggang gajah merupakan antara tarikan besar di taman safari itu.

Sejak pembukaan taman safari itu pada tahun 2013, ia telah mempesonakan kesemua peringkat pelawat tidak kira tua, muda atau kanak-kanak.

Ketenangan dan dipenuhi dengan hidupan liar yang banyak tidak pernah gagal untuk menawan hati para pelawat, menurut seorang lagi pelawat, Md. Asaduzzaman Asad, dengan menambah bahawa melawat taman safari itu telah membawa pengalaman melawat hidupan liar ke satu peringkat lagi.

“Ia sebuah taman yang begitu indah. Semua orang boleh datang ke sini dan meluangkan masa mereka bergembira bersama keluarga. Setentunya saya akan mencadangkan taman ini kepada kesemua kawan saya, terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak,” katanya, dengan menambah taman itu merupakan satu peluang pembelajaran bagi kanak-kanak untuk mengenali hidupan liar dengan lebih dekat.

Menunggang gajah

Taman itu mempunyai keluasan lebih daripada 3,690 ekar dan menawarkan pengalaman yang tidak terhingga bagi para pelawat untuk mengenali hidupan liar eksotik.

Selain daripada harimau dan singa, haiwan-haiwan lain yang boleh didapati di taman itu termasuk sejumlah rusa hitam, beruang dan juga gajah.

Para pelawat juga boleh menunggang gajah dan juga berpeluang untuk melihat harimau-harimau besar yang bergerak bebas dalam persekitaran semula jadinya.

Hidupan liar di taman itu juga boleh disaksikan dengan menaiki sebuah kenderaan yang dilindungi atau dengan mendaki menara.

Seorang pelawat menjelaskan pengalaman di sana sama seperti ketika melawat taman safari Afrika.

Alimuzzaman dan isterinya telah memilih taman itu sebagai tempat yang pertama untuk dikungjungi dan pasangan muda itu berkata bahawa mereka sangat seronok melihat beberapa ekor singa, harimau dan juga beruang hitam.

Kelihatan para pelancong menaiki kereta khas untuk berada lebih dekat dengan haiwan-haiwan.
Kelihatan para pelancong menaiki kereta khas untuk berada lebih dekat dengan haiwan-haiwan.

“Semuanya mempesonakan kami. Kami sudah berada di sini selama empat atau lima jam, tetapi kami mahu berada di sini lebih lama,” katanya, beliau juga berkata tarikan taman itu adalah kehijauan dan kawasannya yang terbuka.

Mencapai 30,000 pelawat setiap hari

Seorang ahli pemuliharaan, Ashit Ranjan Paul, yang bekerja bagi Lingkungan Pemuliharaan Hidupan dan Semula Jadi Hutan, berkata bahawa setiap hari antara 20,000 hingga 30,000 orang melawat taman itu.

Selain daripada para pelancong, beliau berkata ramai penyelidik hutan dan para pelajar dari beberapa buah universiti, kolej serta institusi lain juga melawat taman itu.

Pelancong asing termasuk dari China juga tidak ketinggalan untuk merasai pengalaman hebat berada di taman itu.

“Kami sangat gembira kerana mampu menyediakan kemudahan-kemudahan ini bagi para pelancong untuk menyaksikan haiwan-haiwan liar di sini.”

Terdapat tujuh ekor singa dan 14 ekor anak singa di taman itu.

“Memang menakjubkan untuk menyaksikan singa-singa membiak di sini. Ia adalah satu pencapaian yang besar untuk kami kerana ia bermakna singa-singa itu rasa selamat dan terjamin untuk membiak.”

Paul berkata bahawa mereka mempunyai 11 ekor harimau, salah seekornya dibawa dari Sundarbans, hutan bakau terbesar di dunia, dengan selebihnya didatangkan dari Afrika Selatan.

Taman itu mempunyai hospital haiwan yang bagus dengan memiliki pusat pembedahan dan penyelidikan, menurut Paul, beliau juga menambah keselamatan dan kebahagian haiwan dan para pelawat merupakan keutamaan teratas taman safari tersebut. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA