Pengalaman sukar dilupakan lihat helikopter mendarat cemas – Jaswin

Pengalaman sukar dilupakan lihat helikopter mendarat cemas – Jaswin

TAWAU, 5 Okt – Insiden helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di atas bumbung dewan terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan oleh pelajar di sekolah itu.

Seorang daripadanya, Jaswin Jasmin, pelajar tingkatan lima sekolah itu yang merupakan antara pelajar yang cedera dalam insiden berkenaan.

Menurut Jaswin, dia tidak menyangka helikopter TUDM yang sering beliau lihat melalui kawasan udara sekolahnya melakukan pendaratan cemas, di hadapan matanya sendiri.

Ketika menceritakan insiden tersebut, dia yang tinggal di sebuah taman perumahan bersebelahan dengan kawasan sekolah berkata sebelum itu, dia bersama seorang lagi rakannya sedang makan di kantin yang ketika itu adalah waktu rehat.

Katanya pada mulanya dia mendengar bunyi bising dan selepas itu dia melihat sebuah helikopter jatuh di atas bumbung dewan terbuka yang masih dalam pembinaan, terletak bersebelahan dengan kantin.

“Saya kemudian berlari untuk menyelamatkan diri tetapi kepala saya dihentak besi menyebabkan saya tersungkur.

“Saya kemudian berasa pening dan terdapat darah di kepala sebelum dibantu oleh beberapa orang,” katanya ketika ditemui di sekolah itu selepas menerima sumbangan wang tunai daripada Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, malam tadi. – Bernama