Pengamal media disaran rebut peluang

Pengamal media disaran rebut peluang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Dengan perubahan landskap media dan info-komunikasi yang pesat, pengamal media disarankan untuk sentiasa peka dan bersedia merebut peluang-peluang yang datang khususnya daripada perkembangan teknologi canggih.

Oleh itu, Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai-Pegawai Kanan Yang Bertanggungjawab Mengenai Penerangan (SOMRI WG-IMT) ke-2 memainkan peranan penting bagi membincangkan mengenai bidang-bidang berkepentingan bersama serta program yang bersesuaian bagi perkembangan bidang maklumat dan media ASEAN.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi SOMRI WG-IMT ke-2 dan Pemangku Pengarah Penerangan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mawardi bin Haji Mohammad ketika berucap pada mesyuarat kumpulan kerja berkenaan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, para delegasi yang bersidang akan membincangkan mengenai bidang-bidang berkepentingan bersama termasuk pilihan dasar dalam penyiaran, media cetak, jurnalis dan media baru, pembangunan kapasiti bagi kakitangan media, pendidikan orang ramai mengenai penggunaan media baru untuk mempromosikan ASEAN dan untuk meningkatkan isi kandungan atas talian yang baik serta untuk mempromosikan literasi media.

Awang Mawardi juga berkata, Brunei akan terus memberikan sokongan kepada usaha yang dilaksanakan dalam mempromosikan kerjasama dalam sektor media dan maklumat untuk membantu membangunkan sebuah identiti ASEAN.

Awang Mawardi menyeru pengamal media untuk terus peka dan merebut peluang yang datang daripada perkembangan teknologi canggih dalam melaksanakan tugas serta peranan penyebaran maklumat.
Awang Mawardi menyeru pengamal media untuk terus peka dan merebut peluang yang datang daripada perkembangan teknologi canggih dalam melaksanakan tugas serta peranan penyebaran maklumat.
Awang Mawardi bergambar ramai dengan para delegasi yang menghadiri mesyuarat dua hari itu.
Awang Mawardi bergambar ramai dengan para delegasi yang menghadiri mesyuarat dua hari itu.

Mengulas mengenai peranan sektor media dan penerangan dalam ASEAN, beliau berkata bahawa masih banyak lagi sumbangan yang boleh diberikan oleh sektor berkenaan dalam perjalanan ASEAN untuk merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2015.

Pada 2017, ASEAN akan menyambut ulang tahun ke-50 dan ia merupakan mercu tanda yang penting, jelas Awang Mawardi, dan sektor media serta penerangan harus merebut peluang keemasan yang hadir itu untuk meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN terutama dalam kalangan belia.

Mesyuarat dua hari hingga esok (27 September) itu, dihadiri oleh delegasi-delegasi dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat kali kedua itu akan membincangkan mengenai perkara-perkara kesinambungan daripada mesyuarat pertama termasuk tindakan dan inisiatif yang telah diambil dalam bidang-bidang keutamaan kumpulan kerja, projek bersama rakan-rakan dialog dan pertubuhan antarabangsa serta pelaksanaan dan pemerhatian terhadap Pelan Strategik ASEAN bagi Media dan Penerangan 2016-2015.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai perancangan sektor penerangan bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun ASEAN ke-50 pada 2017.

ARTIKEL YANG SAMA