Pengamal media lawat T-EPF 3

Pengamal media lawat T-EPF 3

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Sebagai sebahagian daripada Program Eksesais Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) ke-22 yang dikendalikan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Brunei Darussalam, ahli-ahli media hari ini telah diberi peluang untuk melawat sebuah kapal laut tentera, USNS Millinocket (T-EPF 3) yang sedang berlabuh di Pelabuhan Muara.

Menurut kapten kapal berkenaan, Kapten Erwin Lao, kapal yang berukuran 103 meter panjang dan 28.5 meter lebar serta boleh memuatkan sehingga 360 penumpang itu pernah terlibat dalam beberapa misi termasuk operasi pemindahan bukan pejuang (non-combatant evacuation operations), bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana kepada beberapa lokasi di seluruh dunia.

Kapal berkenaan dilengkapi dengan navigasi dan sistem kawalan terkini yang dikendalikan oleh anak-anak kapal pelaut awam (civilian) dan anggota tentera.

Kapten Erwin Lao ketika memberikan beberapa penjelasan mengenai Kapal USNS Millinocket.
Kapten Erwin Lao ketika memberikan beberapa penjelasan mengenai Kapal USNS Millinocket.
USNS Millinocket yang sedang berlabuh di Pelabuhan Muara sebagai salah satu program yang ada dalam CARAT.
USNS Millinocket yang sedang berlabuh di Pelabuhan Muara sebagai salah satu program yang ada dalam CARAT.

Kapal laut yang memiliki sistem pengangkutan berkelajuan tinggi itu merupakan sebahagian daripada program yang dijalankan oleh Tentera AS termasuklah McCampbell (DDG 85), Kapal Penyelamat (Salvor) USNS, sebuah pesawat peronda maritim P-8A Poseidon, kakitangan dari Komander, Task Force (CTF) 73 dan Destroyer Squadron (DESRON) 7, Band Armada (Fleet Band) Ke-7 Amerika Syarikat, Orient Express, Marin AS dari Batalion ke-3 dan Rejimen Marin ke-2.

Kapal USNS Millinocket merupakan sebahagian daripada Perintah Pengangkutan Laut Tentera AS yang telah dibina di Mobile, Alabama.

Eksesais CARAT merupakan siri eksesais dua hala di antara Tentera Laut AS, Kor Marin AS dan angkatan tentera dari sembilan buah negara rakan kongsi di Asia Selatan dan Asia Tenggara termasuk Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Timor-Leste.

ARTIKEL YANG SAMA