Pengamal media naiki Poseidon

Pengamal media naiki Poseidon

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Warga media tempatan, hari ini, sangat beruntung apabila dibawa menaiki sebuah kapal peronda maritim Boeing P-8A Poseidon milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) yang berlabuh di Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei, di Rimba.

Kapal daripada Skuadron Patrol USN yang berpangkalan di Stesen Udara Tentera Laut Jacksonville, Jacksonville, Florida itu berada di Brunei Darussalam bagi Eksesais Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) ke-22 yang sedang berjalan di negara ini.

Dalam taklimat semasa lawatan media itu, Pegawai Pemerintah Patrol Squadron Ten, Komander Alan D Miller menjelaskan, bagi Eksesais CARAT, pesawat berkenaan beroperasi bagi misi mencari dan menyelamat di mana mereka telah mengadakan latihan berkenaan di lautan Brunei, kelmarin.

Pengamal media ketika melawat pesawat berkenaan.
Pengamal media ketika melawat pesawat berkenaan.

Dalam latihan itu, mereka menggunakan patung sebagai pengganti manusia, bagi menunjukkan bagaimana berkesan dan cekapnya kegunaan sistem-sistem yang ada di dalam pesawat berkenaan dalam membantu misi tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa sebelum ini, Patrol Squadron 10 telah menggunakan konsep P-3, namun telah diganti dengan P-8A Poseidon yang menawarkan peralatan terkini dan berteknologi maju. Selain itu, P-8A Poseidon juga mampu melancarkan peperangan antikapal selam, peperangan ‘anti-surface’ dan pemintasan penghantaran serta menjalankan peranan perisikan signal elektronik.