Pengamal media terkemuka berhimpun di Singapura

Pengamal media terkemuka berhimpun di Singapura

SINGAPURA, 19 Nov (Bernama) – Lebih 180 media sosial terkemuka yang berpengaruh di Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina akan berhimpun di republik ini untuk bersaing bagi anugerah utama pada Influence Asia 2015, anugerah media sosial terbesar di Asia.

Acara itu akan diadakan pada 7 Dis di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Suntec Singapura.

Influence Asia 2015 dicetuskan oleh Gushcloud, agensi pemasaran dan rangkaian pemasaran yang berpengaruh di Singapura, dan dianjurkan oleh Yello Digital Marketing (YDM) Group, antara kumpulan pemasaran digital terbesar dan berkembang pesat di Asia yang terdiri daripada lebih 22 buah syarikat di Korea Selatan dan Asia Tenggara, termasuk Gushcloud.

Dalam kenyataan, Gushcloud berkata 180 peserta utama dari lima buah negara akan bersaing untuk anugerah tersebut dalam sembilan kategori: Kecantikan, Gaya Hidup, Fesyen, Keibubapaan, Makanan, Kesihatan dan Kecergasan, Saluran YouTube, Personaliti YouTube dan ‘Breakout Influencer’.

Lima pemenang dari negara-negara tersebut akan dinobatkan sebagai ‘Influencer of the Year’. Penyanyi sensasi dari Malaysia, Elizabeth Tan, amat dikenali untuk nyanyian lagu-lagu Melayu popular dengan 134,000 pelanggan Youtube dan Peter Hugh Davis, antara peneraju sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA), akan menjadi antara pesaing.