Pengaman ABDB berlepas ke Lubnan

Pengaman ABDB berlepas ke Lubnan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Majlis pemergian bagi 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan menyertai misi pengaman ke Lubnan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah diadakan pagi tadi di Bolkiah Garrison, di sini.

Pasukan Pengaman ABDB ini akan menyertai pasukan dari Malaysia di bawah pimpinan Batalion Malaysia 850-4 (MALBATT 850-4) dan akan berada di Lubnan dalam tempoh setahun.

Di majlis berkenaan, Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit telah menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Ketua Kontinjen, Mejar Azhan bin Haji Ahmad dan seterusnya pemasangan ‘armband’ dan baret UNIFIL pada setiap anggota yang akan ikut serta. Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pengarah-pengarah awam dan tentera, komandan-komandan dan pegawai kanan dari ABDB.

Laksmana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyempurnakan pemasangan ‘armband’ dan baret UNIFIL pada setiap anggota yang akan ikut serta.
Laksmana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyempurnakan pemasangan ‘armband’ dan baret UNIFIL pada setiap anggota yang akan ikut serta.
Timbalan Menteri Pertahanan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Ketua Kontinjen ABDB.
Timbalan Menteri Pertahanan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Ketua Kontinjen ABDB.

Mejar Azhan semasa ditemu bual berkata, tugasan misi, operasi keamanan di Lubnan adalah mengikut mandat yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) dengan kerjasama anggota Batalion Malaysia MALBATT 850-4.

“Ini adalah sebagai tanggungjawab besar terutama menjaga nama baik negara, di samping itu berbangga kerana terpilih mewakili negara dan memimpin dalam melaksanakan misi di sana nanti,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA