Pengambilan keenam PKBN bermula dari 4 Disember

Pengambilan keenam PKBN bermula dari 4 Disember

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Pengambilan keenam Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dijangka akan bermula pada 4 Disember 2016 dan dijangka selesai pada 13 Mac 2017.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) menjelaskan bahawa syarat-syarat penyertaan bagi calon PKBN ialah warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam, terbuka kepada lelaki dan perempuan yang berumur diantara 16 hingga 21 tahun, tidak terikat dengan sebarang persekolahan ataupun perkerjaan sepanjang jangka waktu latihan dan lulus pemeriksaan kesihatan.

Menurut kenyataan itu lagi, borang pendaftaran akan mula diedarkan pada 21 Julai 2016 dan ditutup pada 31 Oktober 2016. Calon-calon pelatih dikehendaki membawa sendiri borang pendaftaran ke rumah sakit atau pusat kesihatan di daerah/kawasan masing-masing untuk proses pemeriksaan kesihatan.

Borang pendaftaran boleh didapati semasa waktu bekerja di Ibu Pejabat PKBN (Blok B18, Simpang 32-15, Flat Kerajaan Anggerek Desa); Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan Daerah Tutong, Belait dan Temburong dan Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (Blok 2J, Kondominium Ong Sum Ping, BSB).

Borang yang telah dilengkapkan termasuk pengesahan kesihatan oleh pegawai perubatan hendaklah dikembalikan dengan segera ke Ibu Pejabat PKBN atau melalui cawangan daerah Jabatan Belia dan Sukan atau melalui Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Di samping itu, BKBN akan mengadakan Jerayawara PKBN di Daerah Belait bermula 12 hingga 14 Ogos 2016, jam 10 pagi hingga 8 malam di Pusat Membeli-belah KBSentral, Kuala Belait.

Sebarang pertanyaan ataupun urusan penyelarasan selanjutnya, sila berhubung terus dengan Urusetia PKBN melalui talian 2340033/2340045 atau faks: 2341722.

ARTIKEL YANG SAMA