Pengambilan pertama sekolah seni Sabah Februari ini

Pengambilan pertama sekolah seni Sabah Februari ini

KOTA KINABALU, 4 Jan (Bernama) – Sekolah Seni Sabah akan memulakan sesi persekolahan dengan menerima pengambilan pertama seramai 45 pelajar pada 2 Februari ini, kata Pengarah Pendidikan negeri Datuk Jame Alip.

Katanya sekolah itu akan ditempatkan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura, Sandakan, sementara menunggu bangunan sekolah, yang akan dibina di kawasan seluas 12.14 hektar itu dijangka siap pada 2019.

Jame berkata dengan adanya sekolah yang menawarkan empat bidang seni iaitu muzik, tarian, teater dan seni visual sebagai mata pelajaran elektif, anak-anak Sabah yang berbakat besar dalam bidang itu tidak perlu lagi dihantar ke Sekolah Seni Kuching di Sarawak.

“Ini satu perkembangan pendidikan Sabah yang menarik perhatian tahun ini. Kerajaan negeri juga telah menyediakan tanah seluas 30 ekar (12.14 hektar) bagi membina bangunan sekolah itu dalam masa terdekat ini di kawasan Hab Pendidikan di Sandakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2016 SK Sri Gaya di sini hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan pegawai kebudayaan menghantar permohonan kepada jabatan pendidikan negeri sekiranya berminat menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di sekolah seni itu.

Sementara itu, Jame berkata sebanyak 17 sekolah merangkumi 12 sekolah menengah dan tujuh sekolah rendah di Sabah menjadi perintis program Dual-Language Programme (DLP), iaitu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selain bahasa Melayu.

Katanya program ini adalah untuk memartabat bahasa Melayu, dan dalam masa sama memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Sekolah terbabit dipilih kerana prestasi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu adalah bagus. Sekolah yang ingin mengadakan DLP perlu bersedia dari segi sumber manusia (tenaga pengajar cukup), mendapat persetujuan ibu bapa dan prestasi subjek terbabit melepasi atau setaraf prestasi peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau juga berkata Highly Immersive Program turut diadakan tahun ini sebagai membudayakan penggunaan bahasa Inggeris di Sekolah, dengan 23 sekolah di Sabah dipilih untuk menjalankan inisiatif itu setiap hari Selasa memandangkan prestasi bahasa Inggeris sekolah berkenaan adalah rendah.