Pengambilan tembakau antara punca kematian

Pengambilan tembakau antara punca kematian

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Merujuk kepada statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2013 sahaja, terdapat 295 kematian akibat penyakit kanser yang mana 64 kes adalah kanser paru-paru iaitu kes kanser yang terbanyak di negara ini.

Pengambilan tembakau dan pendedahan kepada asap rokok adalah penyumbang kepada 30 peratus daripada kesemua kematian penyakit kanser di negara-negara maju dan semakin bertambah bilangannya di negara-negara yang kurang maju yang boleh dikawal.

Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Kementerian Kesihatan, Haji Mahrub bin Haji Murni mengongsikan statistik ini semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Kempen Quit2Win Berkumpulan Sempena Ramadan 2015 di Pusat Promosi Kesihatan, pagi tadi.

Dalam ucapannya itu, beliau juga mengongsi statistik hasil daripada Kaji Selidik Pengetahuan, Sikap dan Amalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit pada tahun 2014 yang menunjukkan bahawa 18 peratus daripada keseluruhan orang dewasa di negara ini merupakan perokok dan kaji selidik juga menunjukkan bahawa 97 peratus daripada kalangan orang dewasa berpendapat, merokok boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Haji Mahrub ketika menyampaikan ucapan.
Haji Mahrub ketika menyampaikan ucapan.

Namun masih terdapat mereka yang mengamalkan tabiat merokok dan mengambil sikap sambil lewa, ujar beliau.

Kaji selidik juga telah menunjukkan 86 peratus perokok telah cuba berhenti merokok dalam tempoh 12 bulan kebelakangan, oleh itu, katanya lagi, Kementerian Kesihatan telah memperluaskan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di setiap pusat-pusat kesihatan di seluruh negara untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada perokok-perokok yang mahu berhenti merokok.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan kerjasama dan sokongan padu dan komitmen daripada semua pihak dan lapisan masyarakat di negara ini bagi memperkesankan lagi usaha membanteras penggunaan tembakau dan gejala tabiat merokok, terutama kepada golongan remaja yang mudah terpengaruh dengan tabiat merokok kerana mereka merupakan aset negara.

Dalam pada itu, Haji Mahrub turut menyentuh mengenai Pelan Tindakan Kebangsaan Pelbagai Sektor bagi Mencegah dan Mengawal Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (BruMAP-NCD) 2013-2018, yang jelasnya, salah satu objektif strategiknya adalah untuk mengurangkan kadar perokok di Negara Brunei Darussalam.

Di negara ini, katanya, undang-undang dan peraturan kawalan tembakau telah pun dikuatkuasakan dan dimantapkan bagi meliputi aspek-aspek seperti larangan pengiklanan, kawalan penggunaan produk tembakau, kawalan penjualan, pembubuhan amaran kesihatan pada pembungkusan, larangan merokok di tempat-tempat awam dan kenderaan serta mempromosi kesedaran tentang risiko tembakau dan penyediaan perkhidmatan berhenti merokok bagi mencapai objektif tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA