Penganggur bawa dadah ditahan anggota trafik

Penganggur bawa dadah ditahan anggota trafik

LIMBANG, 27 Jan – Tindakan seorang penganggur yang menyembunyikan dadah disyaki syabu dalam beg kecil ketika menunggang motosikal memakan diri apabila perbuatannya itu terbongkar dalam satu pemeriksaan oleh anggota trafik di Jalan Muhibbah petang kelmarin.

Suspek lelaki, 20, berbangsa Kedayan dari Kampung Bakol Limbang ditahan ketika sedang menunggang motosikal dalam satu pemeriksaan jalan raya sekitar jam 1.49 petang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata anggota trafik menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap suspek, kita menjumpai satu beg kecil berwarna hitam di poket  sebelah kanan bahagian depan seluar panjang warna hitam yang dipakai oleh suspek.

“Pemeriksaan di dalam beg terbabit mendapati terdapat satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket 18 keratan tiub straw lut sinar berwarna biru yang mengandungi dadah disyaki syabu,” katanya kepada media semalam.

Suspek ditahan oleh anggota trafik dalam satu pemeriksaan kelmarin.
Suspek ditahan oleh anggota trafik dalam satu pemeriksaan kelmarin.

Jelas beliau berat kasar keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 5.46 gram. “Suspek dibawa ke Balai Polis Limbang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39A(1)  Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Arissa.