Penganggur dituduh tikam abang

Penganggur dituduh tikam abang

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160725_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan di sini, semalam, atas pertuduhan mencederakan abangnya.

Tiada pengakuan diambil daripada Mohammad Al Zahhid bin Abdullah, 20, yang berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan kepada Mohammad Al Baab bin Abdullah dengan menikamnya menggunakan pisau.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Julai 2016 antara jam 4 hingga 5 petang di sebuah rumah di Jalan Ban 3A, Mulaut.

Dia menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun, dan juga sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memaklumkan mahkamah bahawa siasatan terhadap Mohammad Al Zahhid sudah selesai dijalankan namun memohon supaya tertuduh ditahan reman selama seminggu di Balai Polis Pusat sementara menunggu arahan seterusnya.

Hakim Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin bagaimanapun membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $5,000 atau dua penjamin tempatan sambil berkata, permohonan tahan reman hanya boleh dibuat jika siasatan masih lagi diperlukan ke atas tertuduh.

Hakim turut mengenakan syarat-syarat ikat jamin di mana tertuduh mesti berkelakuan baik dan mengekalkan perdamaian bersama keluarganya; tidak melakukan kesalahan lain semasa dalam tempoh ikat jamin; sentiasa boleh dihubungi pada setiap masa dan mematuhi perintah berkurung di rumah dari jam 7 malam hingga 7 pagi.

“Jika tertuduh melanggar mana-mana syarat ikat jamin, mahkamah akan memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong,” tegas Hakim.

Kes akan disebut semula pada 30 Julai.

ARTIKEL YANG SAMA