Pengangkutan kabel permudahkan laluan pengunjung Bukit Chandragiri

Pengangkutan kabel permudahkan laluan pengunjung Bukit Chandragiri

KATHMANDU – Persekitaran kawasan bukit menjadi tempat kegemaran kepada empat juta penduduk di ibu kota Nepal untuk beriadah dan menenangkan fikiran.

Pembukaan perkhidmatan pengangkutan kabel yang kedua di Stesen Bukit Chandragiri di sempadan Lembah Kathmandu telah memberikan peluang kepada penduduk bandar itu untuk lebih menikmati panorama kawasan tersebut yang sangat indah.

Sebelum perkhidmatan pengangkutan kabel itu beroperasi, aktiviti pendakian bukit jelas cukup popular dilakukan di sekitar kawasan bukit di lembah tersebut.

Bukit Chandragiri yang terletak 2,551 pada paras laut menawarkan panorama yang cukup indah menghala ke arah Banjaran Himalaya dan suasana hutan yang hijau yang cukup menenangkan kepada para pengunjung.

Pada hari cerah, deretan puncak Himalaya yang bermula daripada Gunung Annapurna menuju di barat menuju ke arah Gunung Everest di timur dapat disaksikan oleh para pengunjung di atas bukit tersebut yang ada kalanya diselaputi oleh kabus.

Pengangkutan kabel di Lembah Kathmandu merupakan yang kedua selepas pengangkutan yang sama dibina di daerah Gorkha yang mula beroperasi pada tahun 1998.
Pengangkutan kabel di Lembah Kathmandu merupakan yang kedua selepas pengangkutan yang sama dibina di daerah Gorkha yang mula beroperasi pada tahun 1998.

Renu Shrestha Bajgain dan Sabita Bhandari, dua orang sahabat dari Kathmandu berasa teruja ketika berpeluang untuk berada di puncak bukit dengan bantuan pengangkutan kabel yang telah beroperasi sejak tiga bulan yang lalu.

“Tidak banyak tempat yang sesuai untuk dilawat bersama rakan-rakan dan keluarga di bandar tersebut namun Bukit Chandragiri jelas merupakan sebuah lokasi yang sempurna bagi melakukan aktiviti riadah bersama anak-anak,” jelas Bajgain.

Terdapat beberapa tempat menarik seperti taman, kuil dan restoran untuk dikunjungi di atas kawasan bukit itu yang setentunya dapat menjanjikan rasa keseronokan kepada para pengunjung.

Chandragiri Hills Limited, sebuah syarikat yang merealisasikan operasi pengangkutan kabel itu turut merancang untuk membina sebuah menara bagi kemudahan meninjau di kawasan tersebut, hotel, taman borani, kedau dan teater bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Pengembaraan di bukit tersebut jelas sangat menjimatkan masa kerana seluruh kawasan itu boleh diterokai dalam tempoh sehari dan kembali semula ke bandar Kathmandu pada hari yang sama,” jelas Bhandari, seorang pekerja kerajaan.

Bukit itu terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Kathmandu.

Sejak perkhidmatan pengangkutan kabel tersebut mula beroperasi, ia bukan sahaja berjaya menarik pengunjung daripada Lembah Kathmandu bahkan juga pengunjung dari wilayah lain dan juga tidak terkecuali daripada pelancong asing.Ganga Devi Adhikari dan Jaya Prasad Adhikari, pasangan warga emas dari Daerah Morang, Nepal membuat keputusan untuk mengunjungi Bukit Chandragiri bersama anak perempuan dan menantunya.

“Menaiki pengangkutan kabel itu jelas merupakan satu pengalaman yang sangat menakjubkan di mana ia seolah-olah membuatkan anda seperti berada di dalam sebuah kapal terbang,” jelas Ganga Devi.

Perkhidmatan pengangkutan kabel pertama Nepal iaitu Pengangkutan Kabel Manakamana terletak di daerah Gorkha yang berjaya menarik ramai orang sejak ia mula beroperasi pada tahun 1998.

Melalui pembukaan perkhidmatan pengangkutan kabel di Chandragiri ini jelas berjaya menarik lebih ramai pengunjung untuk menikmati panorama indah yang ditawarkan.

Chandra Dhakal, pengerusi IME Group di bawah Chandragiri Hill Limited menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya 150,000 orang telah menggunakan pengangkutan kabel tersebut sejak ia beroperasi tiga bulan yang lalu.

Perkhidmatan pengangkutan kabel di Lembah Kathmandu berjaya tarik ramai pengunjung ke Bukit Chandragiri.
Perkhidmatan pengangkutan kabel di Lembah Kathmandu berjaya tarik ramai pengunjung ke Bukit Chandragiri.
Panorama indah menghala ke arah hutan menghijau yang dapat disaksikan dari atas Bukit Chandragiri.
Panorama indah menghala ke arah hutan menghijau yang dapat disaksikan dari atas Bukit Chandragiri.

“Pada hujung minggu, sekitar 6,000 ke 7,000 orang menaiki pengangkutan kabel itu dalam tempoh sehari,” jelas Dhakal kepada Xinhua.

Sistem pengangkutan kabel itu merangkumi 38 gondola yang boleh membawa seramai 1,000 orang dalam tempoh masa satu jam.

Perhidmatan pengangkutan kabel itu juga sedikit sebanyak menyumbang dalam perkembangan ekonomi tempatan memandangkan beberapa buah restoran turut dibuka berdekatan dengan stesen pengangkutan kabel di mana ia jelas dianggap sebagai satu lokasi yang cukup strategik bagi mensasarkan pengunjung.

Syarikat yang telah melaburkan lebih daripada AS$35 juta bagi merealisasikan projek itu berharap untuk mendapatkan kembali pulangan terhadap jumlah yang telah dilaburkan dalam tempoh lapan tahun.

Pihak syarikat itu telah menyediakan kemudahan infrastruktur pengangkutan kabel setelah menyasarkan Chandragiri yang memiliki potensi untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan di Nepal.

“Kami bercadang untuk membuka hotel mewah bertaraf lima bintang yang boleh menjadi lokasi bagi penganjuran seminar dan persidangan antarabangsa,” jelas Dhakal.

Walaupun sasaran utama pengguna bagi perkhidmatan pengangkutan kabel tersebut adalah di kalangan penduduk Lembah Kathmandu namun syarikat tersebut juga bercadang untuk mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat negara dan antarabangsa.

“Kami telah memulakan kerja asas untuk menyenaraikan Chandragiri sebagai tarikan utama kepada pelancong asing di Lembaga Pelancongan Nepal,” jelas Dhakal.

Selepas kejayaan pelancaran perkhidmatan pengangkutan kabel di pinggir Lembah Kathmandu, pihak syarikat itu menjelaskan bahawa mereka telah mengidentifikasi dua lokasi yang bersesuaian untuk menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Pihak syarikat kami juga sedang giat untuk mengintai peluang bagi menarik pelabur asing untuk menjayakan projek-projek baru secara usahasama,” jelas Dhakal. –Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA