Pengangkutan udara akan tingkatkan ekonomi

Pengangkutan udara akan tingkatkan ekonomi

LABUAN, 11 Feb – Sebagai cara paling pantas untuk menghubungkan orang ramai dan perniagaan, pengangkutan udara menjadi kaedah penting untuk meningkatkan pembangunan ekonomi.

Bagaimanapun, manfaat daripada pengangkutan udara hanya dapat diraih jika mempunyai pelaburan yang mencukupi dalam keupayaan infrastruktur seperti lokasi tarikan pelancong dan pakej percutian yang menarik. Presiden Pergerakan Pengguna Labuan Fauziah Datuk Mohd Din berkata pihak yang berkaitan dan peserta industri perlu bekerjasama dan merangka strategi untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau bebas cukai ini.

“Dengan kelemahan ringgit dan kejatuhan harga minyak mentah global, yang menyebabkan pengangguran meningkat, pihak yang berkaitan perlu mengemukakan penyelesaian yang konkrit,” katanya kepada Bernama hari ini. Fauziah menyambut baik cadangan daripada Rayani Air untuk meluaskan destinasinya ke Labuan yang amat baik untuk pertumbuhan ekonomi pulau ini. “Oleh itu, saya menyeru pihak yang berkenaan untuk melobi lebih banyak penerbangan antarabangsa secara terus dari Singapura – Kota Kinabalu – Labuan dan sebaliknya. Langkah ini akan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA