Penganjur mahu tumpuan kepada piala dunia B-20 bukan kemelut FIFA

Penganjur mahu tumpuan kepada piala dunia B-20 bukan kemelut FIFA

WELLINGTON, 4 Jun (Reuters) – Peletakan jawatan mengejut Presiden FIFA, Sepp Blatter seharusnya membuatkan peminat bola sepak kembali fokus terhadap kejohanan Piala Dunia Bawah 20 tahun di New Zealand yang sedang berlangsung ketika ini.

Perkara itu diluahkan jawatankuasa penganjur tempatan selain Ketua Pegawai Eksekutif Bola Sepak New Zealand, Andy Martin, hari ini.

Bola sepak dunia ketika ini dilanda dengan kontroversi terbaharu membabitkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menyaksikan tujuh pegawai tertinggi badan induk itu ditahan pihak berkuasa Switzerland sebelum kongres tahunan berlangsung.

Keseluruhan 14 pegawai FIFA dan eksekutif korporatnya berdepan tuduhan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) dengan skandal rasuah membabitkan nilai sogokan $150 juta (RM552.12 juta).

“Saya tidak kata ia mencemari kejohanan (Bawah 20 tahun) ini namun ia tanpa sebarang persoalan mencemarkan jenama bola sepak,” kata Martin.

“Saya gembira perkara ini sudah dibawa keluar pagi ini dan saya mahu menggalakkan semua orang untuk berada di belakang pemain-pemain kami,” katanya merujuk kepada perlawanan terakhir Kumpulan A yang menemukan tuan rumah menentang Myanmar di Wellington, Jumaat ini.