Penganjur Olimpik2020 nafi tiru logo teater Belgium

Penganjur Olimpik2020 nafi tiru logo teater Belgium

TOKYO, 3 Ogos (AFP) – Pereka logo temasya Olimpik Tokyo 2020 di Jepun berkata, pihaknya tidak meniru logo sebuah teater di Belgium yang seakan-akan serupa.

Logo direka oleh Kenjiro Sano bagi temasya sukan terbesar dunia itu mempunyai persamaan ketara dengan logo untuk Theatre de Liege di Belgium yang dicipta oleh Olivier Debie.

Penganjur Tokyo 2020, Sano dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata; “Saya langsung tidak mengetahui mengenai reka bentuk yang dipersoalkan, dan saya juga pastinya tidak merujuk kepadanya ketika mencipta rekaan saya.”

Logo bagi Tokyo 2020 didedahkan, minggu lalu dan direka berdasarkan huruf ‘T’ yang mengaitkan perkataan Tokyo dan pasukan (Team).

Namun, logo untuk Theater de Liege mempunyai bentuk hampir sama apabila memiliki warna dasar putih pada latar belakang hitam.

Penganjur berkata, mereka mengkaji cap dagangan logo terbabit di dalam dan di luar Jepun sebelum memutuskannya untuk digunakan secara rasmi.