Penganjuran F1 ke-16 di Sepang beri impak positif

Penganjuran F1 ke-16 di Sepang beri impak positif

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Penganjuran pusingan ke-16 Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Sept hingga 2 Okt ini menunjukkan impak positif daripada penjualan tiket melalui ejen seluruh dunia yang meningkat lebih 200 peratus.

Sebelum ini, sejak 2001 Malaysia menganjurkan perlumbaan Grand Prix itu di pusingan kedua dan ini merupakan kali pertama F1 diadakan pada pusingan ke-16, iaitu kelima terakhir sebelum lengkap 20 pusingan perlumbaan siri jelajah dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali berkata penukaran tarikh itu untuk memberi masa yang lebih panjang kepada SIC dan Malaysia melakukan promosi dengan merancang pelbagai aktiviti menarik.

“Jualan tiket dan pakej pelancongan meningkat sebanyak 200 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas. Dari segi jualan luar negara memang agak baik dan saya harap rakyat Malaysia akan terus sokong supaya jualan terus meningkat selepas  pelancaran hari ini.

Zahariah Liza Abd Rahman (dua, kanan) bersama Datuk Razlan Razali (kanan) bergambar selepas merasmikan pelancaran Formula 1 (F1) Grand Prix Malaysia 2016 di sebuah hotel kelmarin. – Bernama
Zahariah Liza Abd Rahman (dua, kanan) bersama Datuk Razlan Razali (kanan) bergambar selepas merasmikan pelancaran Formula 1 (F1) Grand Prix Malaysia 2016 di sebuah hotel kelmarin. – Bernama

“Peningkatan jualan dan jumlah penonton ini membolehkan SIC buktikan kepada kerajaan Malaysia untuk mereka membuat justifikasi bagi meneruskan penganjuran perlumbaan ini selepas tahun 2018,” katanya pada pelancaran F1 Grand Prix Malaysia 2016, di sini.

Malaysia terus diberi kepercayaan mengendalikan F1 untuk tempoh tiga tahun sehingga 2018, di samping syarikat gergasi minyak Petronas menjadi penaja utama pada kontrak baharu itu.

Malaysia mula menganjurkan perlumbaan F1 pada 1999.

Razlan berkata sempena penganjuran kali ini, buat pertama kalinya perlumbaan GP2 dan GP3 akan turut dipertandingkan dan masing-masing dibarisi oleh dua wakil negara iaitu Nabil Jeffri dan Akash Nandy. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA