Penganjuran LTdL diteruskan tahun depan

Penganjuran LTdL diteruskan tahun depan

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) – Penganjuran acara perlumbaan basikal berprestij di Asia Tenggara, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan tetap diteruskan tahun depan, menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

“LTdL adalah acara sukan ikonik kepada Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menyertai acara berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur sempena karnival ASEAN Cycle Fest 2015 di Dataran Merdeka, hari ini.

“Kita (KBS) telah mengenal pasti penganjur baharu. Daripada dua yang disenarai pendek, kita akan umumkan nama syarikat penganjur baharu itu minggu depan,” katanya.

Menurut Khairy, sejumlah empat syarikat termasuk penganjur terdahulu iaitu Human Voyage Sdn Bhd telah membida untuk menjadi penganjur.

Selepas dibuat penelitian oleh Ketua Setiausaha KBS Datuk Jamil Salleh, hanya dua syarikat disenarai pendek.

Antara kriteria pemilihan syarikat penganjur berkenaan, menurut Khairy, ialah perlu mempunyai pengalaman menganjurkan perlumbaan berbasikal jelajah. Walaupun baru saja dimaklumkan secara lisan kepada syarikat berkenaan, Khairy berkata beliau diberitahu bahawa mereka sudah mendapat persetujuan awal daripada 30 pasukan.

“LTdL perlu kita bina semula profilnya…jadi kita perlukan penajaan daripada syarikat swasta di negara ini. Saya rasa inilah masanya syarikat besar di negara ini menjadi penaja acara LTdL kerana acara berbasikal sebenarnya semakin meningkat.