Pengantarabangsaan RMB beri keyakinan

Pengantarabangsaan RMB beri keyakinan

BEIJING, 6 Dis – Pengantarabangsaan mata wang China, renminbi, (RMB) bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur Malaysia tetapi turut mengurangkan kos perniagaan serta pendedahan kepada ketidaktentuan mata wang.

Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting berkata keputusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memasukkan RMB dalam Hak Pengeluaran Khasnya (SDR) bersama-sama dolar AS, euro, pound British dan yen, adalah dialu-alukan.

“Kini, yuan mata wang ketiga terbesar dunia dan langkah itu akan memberi keyakinan kepada perniagaan Malaysia untuk menggunakan yuan berbanding mata wang lain sebagai pembayaran perdagangan.

“Pada akhirnya, ini akan membantu mengurangkan kos perniagaan serta mengelakkan mata wang mereka terdedah kepada ketidaktentuan,” kata Ong dalam temu bual menerusi e-mel dengan Bernama, di sini pada Sabtu.

Pengantarabangsaan mata wang China, renminbi memberi keyakinan kepada pelabur.
Pengantarabangsaan mata wang China, renminbi memberi keyakinan kepada pelabur.

Beliau berkata pengantarabangsaan RMB berserta penubuhan pusat penjelasan RMB dengan cawangan Bank of China di Malaysia, sudah pasti akan merangsang perdagangan antara kedua-dua negara.

“Ia akan mempermudah peniaga dan pelabur dari kedua-dua negara berdasarkan jumlah dagangan yang besar antara Malaysia dan China yang bernilai US$102 bilion pada 2014,” katanya.

Selain itu kata Ong, kegiatan ekonomi juga berkemungkinan meningkat terutama dalam pembangunan prasarana besar-besaran, melibatkan usahawan kedua-dua negara susulan pengenalan inisiatif ‘One Belt, One Road’ China dan tabung Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

AIIB yang dimulakan oleh China, dicadangkan sebagai institusi kewangan antarabangsa yang menumpukan kepada projek pembinaan infrastruktur di rantau Asia Pasifik.

Mengulas langkah China meluluskan geran 50 bilion yuan di bawah program Pelabur Institusi Asing Berkelayakan RMB (RQFII), Ong berkata skim itu akan menyediakan lebih banyak peluang bagi pelabur Malaysia menggerakkan dana yuan luar pesisir mereka.

“Mereka boleh meneroka pasaran kewangan China yang mempunyai potensi besar untuk berkembang berdasarkan ekonomi China yang teguh.

“Ia juga menyediakan peluang lebih luas kepada pelabur institusi Malaysia untuk memilih pelaburan asing yang tepat berikutan persekitaran ekonomi global semasa yang tidak menentu. Ia juga akan terus mempertingkat perdagangan dua hala antara Malaysia dan China,” katanya.

Ong berkata Malaysia antara sekumpulan kecil negara-negara terpilih yang diberi kuota RQFII bernilai 50 bilion yuan oleh Perdana Menteri China Li Keqiang semasa Forum Ekonomi Malaysia-China, bulan lepas.  – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA