Pengantarabangsaan RMB pengubah jangka panjang

Pengantarabangsaan RMB pengubah jangka panjang

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) – Kemasukan mata wang renminbi China dalam kelompok mata wang rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dilihat sebagai pengubah jangka panjang bagi kemudahan perdagangan dan pelaburan global serta serantau.

Kalangan pakar ekonomi berpendapat, langkah yang diumumkan IMF semalam itu, turut melonjakkan lagi keyakinan para pelabur terhadap mata wang renminbi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Standard Chartered, Bill Winters menyifatkan pengiktirafan renminbi sebagai mata wang rizab adalah lebih daripada sekadar kejayaan penting bagi mata wang China berkenaan.

“Ia memberi kesan penting dan pengubah bagi pasaran lain dunia. Dalam tempoh lebih sedekad, usaha pembaharuan besar-besaran China ternyata melonjakkan renminbi daripada (mata wang) tidak dikenali kepada kelompok mata wang Hak Pengeluaran Khas (SDR) IMF.

“Penyertaannya dalam SDR cukup membuktikan sejauh mana pencapaian China sejak memulakan proses pembaharuannya pada 2004,” katanya lagi.

Winters berkata kepesatan pembangunan itu amat ketara dan perkembangan hari ini adalah titik lembaran baharu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, kebanyakan bank pusat serta pengurus rizab sememangnya melabur dalam aset renminbi dan menjangkakan peningkatan permintaan pelabur negara bagi mata wang berkenaan.

“Justeru, kemasukannya dalam kelompok SDR akan memberi keyakinan lebih ketara bagi syarikat dan institusi serata dunia untuk berdagang dalam renminbi serta melabur dalam aset mata wang itu,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA