Pengantarabangsaan yuan beri kesan positif bagi syarikat China

Pengantarabangsaan yuan beri kesan positif bagi syarikat China

BEIJING, 2 Dis (Bernama) – Pengantarabangsaan berterusan mata wang China yuan, akan memberi kesan positif jangka panjang terhadap syarikat-syarikat China, lapor agensi berita Xinhua hari ini.

Keputusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk merangkumkan yuan atau renminbi (RMB) dalam Hak Pengeluaran Khasnya (SDR) merupakan satu lagi pencapaian mata wang itu pada peringkat global dan juga menandakan keyakinan terhadap pembaharuan kewangan China. Pertumbuhan pantas pegangan asing dalam aset didominasi yuan serta penggunaan mata wang itu sebagai pembayaran rentas sempadan berkemungkinan mengurangkan kos pertukaran asing dalam jangka panjang, lapor agensi berita itu yang memetik Fitch Ratings.

Katanya berdasarkan data September, yuan kini menjadi mata wang kelima paling banyak digunakan pada peringkat global sebagai pembayaran rentas sempadan, meningkat dari tangga ke-14 tiga tahun lalu.

Menurut Fitch Ratings, yuan juga adalah mata wang paling banyak digunakan dalam pembayaran intrarantau bagi Asia Pasifik. Peningkatan penyertaan pelabur institusi antarabangsa dalam pasaran tempatan juga boleh memperkukuh kesedaran pelabur terhadap isu-isu tadbir urus korporat.

Ini termasuk ketelusan lebih baik dan perlindungan undang-undang iaitu bidang-bidang yang jika ditambah baik akan memberi kesan positif kredit bagi perusahaan-perusahaan korporat China.

ARTIKEL YANG SAMA