Pengantin baru diarak lori ditarik ‘orang kuat’

Pengantin baru diarak lori ditarik ‘orang kuat’

PENDANG, Kedah, 16 Dis (Bernama) – Pasangan raja sehari di Kampung Chegar, di sini menjadi tumpuan ramai apabila diarak sejauh 20 meter menaiki sebuah lori tiga tan yang ditarik oleh seorang ahli bina badan.

Lori dinaiki pasangan pengantin Muhamad Khairul Izuan Yunos, 28, dan Khansak Mohamad Shafir, 27, itu telah ditarik oleh Mohamad Faizal Mohamad Najib, 32, yang merupakan jurulatih kecergasan gimnasium disertai Khansak.

Khansak, seorang jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata beliau memperoleh idea perarakan sempena perkahwinannya itu setelah berbincang dengan Mohamad Faizal yang juga merupakan jurulatihnya.

Mohamad Faizal menarik lori seberat tiga tan sejauh 20 meter semasa upacara perarakan pengantin pada majlis perkahwinan antara Khansak Mohamad Shafir dan Muhamad Khairul Izuan Yunos di Kampung Chegar, Pendang, Kedah, kelmarin. – Bernama

“Idea ini datang dua bulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan dan saya gembira kerana konsep yang kami buat ini berlainan berbanding konsep-konsep yang sedia ada.

“Apabila saya mengemukakan idea tersebut, beliau terus bersetuju kerana saya merupakan salah seorang anggota yang paling awal menyertai kelab gimnasium miliknya sejak ia ditubuhkan pada tahun 2013,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khansak berkata sejak menyertai gimnasium tersebut, beliau berjaya menurunkan berat badannya yang sebelum ini mencecah 75kg kepada 50kg hasil tunjuk ajar daripada jurulatihnya.