Penganut bukan Islam kongsi kegembiraan ketibaan Ramadan

Penganut bukan Islam kongsi kegembiraan ketibaan Ramadan

KOTA KINABALU, 22 Jun (Bernama) – Walaupun bulan Ramadan disambut oleh masyarakat Islam di negara ini namun mereka yang bukan beragama Islam turut berkongsi kegembiraan apabila dapat menikmati pelbagai pilihan juadah.

Bagi mereka, hanya ketika Ramadan mereka dapat melihat dan menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan di beberapa premis makanan termasuk di hotel dan bazar Ramadan yang menyediakan juadah berbuka puasa.

“Waktu puasalah banyak pilihan makanan yang tiada pada bulan-bulan lain,” kata Jeann Yora Mahin, 29, yang turut menyertai rakan-rakan beragama Islam berbuka puasa.

Menurutnya setiap tahun pada bulan puasa kemunculan pelbagai pilihan makanan pasti membuatkan dirinya teruja kerana baginya semua makanan yang dihidangkan sentiasa memenuhi seleranya.

Katanya, setiap makanan yang dihidangkan di premis-premis makanan mempunyai nilai tersendiri dan sebagai pengguna, kebijaksanaan membuat pilihan amat penting supaya tidak membazir ketika memilih menu pilihan.

Sementara itu, Steven Liew, 34, juga turut teruja setiap kali tibanya bulan Ramadan, terutama ketika berbuka puasa kerana pastinya makanan yang tersedia adalah pelbagai termasuk makanan Melayu seperti rendang, bubur lambuk, sate dan mi kari.

“Saya memang suka makan dan biasanya saya akan ambil apa-apa saja yang saya rasa sedap,” katanya kepada Bernama.

Bagi Rachel Basnayake, 24, yang meminati makanan ‘tuhau’ dan ‘jeruk bambangan’ iaitu dua jenis makanan tradisi masyarakat Sabah, beliau tidak akan ketinggalan untuk menikmati hidangan kegemarannya itu pada Ramadan ini.

Katanya, walaupun tidak menyambut bulan Ramadan namun beliau turut merasai pengalaman berbuka puasa bersama rakan-rakan Muslim yang lain.