Pengasas FB derma 99 peratus saham

Pengasas FB derma 99 peratus saham

SAN FRANCISCO, 2 Dis (AFP/Agensi) – Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg mendapat cahaya mata sulung selepas isterinya, Priscilla Chan selamat melahirkan anak damit yang dinamakan Maxima itu.

Jutawan Lembah Silikon itu dan isterinya, berkongsi berita kelahiran anak damit itu menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook dengan tajuk ‘Surat untuk anak perempuan kami’.

Sempena dengan kehadiran anak damit sulung itu, pasangan berkenaan turut mengumumkan hasrat untuk menyumbang sejumlah pendapatan mereka bagi faedah generasi masa depan.

Mereka akan menderma sebanyak 99 peratus daripada saham Facebook – yang kini dianggarkan bernilai AS$45 bilion – kepada yayasan kebajikan baharu, mengikut kenyataan berkenaan.

Dalam surat yang disiarkan menerusi Facebook itu, ia turut memaparkan gambar pasangan Zuckerberg dan isterinya, memegang anak damit mereka yang dibalut selimut dengan gambar kartun ulat bulu.

Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bersama isterinya, Priscilla, menggendong anak perempuan mereka dalam imej yang disiarkan kelmarin. – Reuters
Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bersama isterinya, Priscilla, menggendong anak perempuan mereka dalam imej yang disiarkan kelmarin. – Reuters

Selimut itu dijual pada harga $50 empat helai. Entri terbaharu itu bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh anak damit itu dilahirkan dan dinamakan Max. Awal tahun ini Zuckerberg mengumumkan Priscilla sedang mengandung anak pertama mereka.

“Ketika anda memulakan generasi seterusnya bagi keluarga Chan Zuckerberg, kami juga memulakan Inisiatif Chan Zuckerberg untuk menyertai orang ramai di seluruh dunia bagi memajukan potensi kemanusiaan dan mempromosi kesaksamaan bagi semua kanak-kanak dalam generasi seterusnya,” kata ketua Facebook dan isterinya.

“Bidang permulaan yang kami fokuskan akan menjadi pembelajaran peribadi, penyembuhan penyakit, menghubungkan orang ramai dan membina komuniti yang kukuh.”