Pengasas Nike bakal letak jawatan

Pengasas Nike bakal letak jawatan

NEW YORK, 1 Julai (AFP) – Phil Knight, yang membangunkan Nike daripada sebuah syarikat kasut sederhana kepada gergasi sukan global, merancang melepaskan jawatannya sebagai pengerusi, umum syarikat berkenaan hari ini.

Sehubungan itu, Knight, 77, mencadangkan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Mark Parker menggantikan tempatnya apabila meletak jawatan pada 2016, umum syarikat itu lagi.

Beliau yang juga bekas bintang olahraga Universiti Oregon, melancarkan Nike di Portland, Oregon pada tahun 1968 selepas menjual kasut sniker di but keretanya.

Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, Nike terus berkembang sehingga menjadi gergasi pemasaran sukan global, menyaingi jenama Jerman, Adidas, yang lebih dulu berada di pasaran.

Logo syarikat itu, swoosh dan motto, ‘Just Do It’ kini sudah sebati dengan dunia sukan. Hari ini, Nike menaja ramai atlet ikon dunia termasuk Michael Jordan, Tiger Woods, Serena Williams, Rory McIlroy, Roger Federer, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Phil Knight akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Nike. – Reuters
Phil Knight akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Nike. – Reuters

Minggu lalu, Nike dilaporkan mencatat keuntungan fiskal sebanyak AS$3.3 bilion daripada AS$30.6 bilion perolehan.

Knight, yang dilaporkan oleh majalah Forbes memiliki kekayaan kira-kira $24.3 billion bagaimanapun merancang untuk terus kekal bersama Nike selepas itu.

“Pada saya, Nike bukan lagi sekadar sebuah syarikat – ia menjadikan hidup saya mengujakan,” katanya dalam satu kenyataan.