Pengasas North Face maut ketika berkayak

Pengasas North Face maut ketika berkayak

SANTIAGO, 9 Dis – Jutawan Amerika Syarikat (AS), Douglas Tompkins, yang mengasaskan bersama label luar The North Face, meninggal dunia dalam kemalangan berkayak di rantau Patagonia selatan Chile, menurut kerajaan.

Beliau yang berusia 72 tahun itu meninggal dunia akibat hipotermia teruk selepas bot mereka terbalik di Tasik Carrera dan jatuh ke dalam air yang sangat sejuk, kata jabatan kesihatan rantau Aysen, Chile.

Tompkins sedang berkayak bersama empat warga Amerika yang lain dan seorang warga Mexico di tasik itu apabila angin kencang menjana ombak telah melambungkan kesemua mereka ke dalam air.

Kapal tentera laut Chile menyelamatkan kumpulan itu dan Tompkins dibawa menggunakan helikopter peribadi menuju ke hospital di bandar Coyhaique tempat beliau disahkan meninggal dunia.

Apabila dia ditemui di tasik itu, suhu badannya mencecah 19 darjah Celsius, menurut jabatan kesihatan serantau.

Tompkins mengasaskan label perkhemahan dan pakaian luar Amerika The North Face pada tahun 1964 bersama pasangannya.

Empat tahun kemudian dia membantu isteri pertamanya, Susie Tompkins Buell, menubuhkan pakaian jenama Esprit dan mengembangkannya menjadi perniagaan besar sebelum penceraian mereka pada 1989. – AFP