Pengawal keselamatan KOPRI terima penghargaan

Pengawal keselamatan KOPRI terima penghargaan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Tiga orang pengawal keselamatan Koperasi Rimbun Berhad (KOPRI) yang telah berjaya menangkap pencuri di sebuah pusat membeli-belah di Kampung Lambak Kanan menerima sijil penghargaan dan hadiah daripada Syarikat Keselamatan KOPRI.

Majlis penyampaian sijil penghargaan dan hadiah berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Sektor Keselamatan Komersil KOPRI di Bangunan Haji Uthman Kompleks, Berakas.

Ketiga-tiga pengawal keselamatan berkenaan ialah Penyelia, 274 Rosmini bin Haji Matali, Pengawal Keselamatan 524 Muhd Iswanddy bin Basri dan Pengawal Keselamatan 2563 Mohd Nasri bin Hasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif KOPRI, Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Awang Besar berkata, sijil penghargaan ini diharap dapat menjadi contoh kepada pengawal keselamatan yang lain supaya akan lebih prihatin, peka dan bertanggungjawab dalam mencegah jenayah.

Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pengawal keselamatan KOPRI.
Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pengawal keselamatan KOPRI.

“Sebagai tanda penghargaan, pihak KOPRI memberikan sijil anugerah kepada pengawal-pengawal berkenaan atas keberanian mereka,” ujar beliau lagi.

Pada majlis yang sama, KOPRI juga menyampaikan sumbangan derma kepada keluarga Allahyarham Pengawal Keselamatan 2518 Awang Mohd Irawan bin Abdul Kadir yang telah kembali ke rahmatullah.

Sumbangan derma berkenaan merupakan sikap keprihatinan pihak KOPRI kepada ahli keluarga Allahyarham dan berharap akan dapat mengurangkan lagi beban keluarga Allahyarham.

Sumbangan derma berkenaan telah disampaikan oleh Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman kepada ibu Allahyarham.

ARTIKEL YANG SAMA