Pengawal keselamatan mengaku ‘Sultan Melaka’ didakwa

Pengawal keselamatan mengaku ‘Sultan Melaka’ didakwa

JOHOR BAHARU, 8 Ogos – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan kerana menipu seorang individu untuk mempercayai dirinya adalah Sultan Melaka dan boleh mendapatkan mangsa persalinan diraja pada Mei tahun ini.

Sabirin Yusuf, 48, dituduh menipu Poniran Sumardi dengan memperdayakan lelaki itu bahawa dirinya adalah Sultan Melaka dan boleh menolong mangsa mendapatkan persalinan diraja Melaka sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM700.

Tertuduh yang melakukan kesalahan itu pada awal Mei lepas, juga didakwa melakukan kesalahan sama pada pertengahan Mei dan penghujung Mei tahun ini. Ketiga-tiga pertuduhan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang setiap pertuduhan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Sabirin Yusuf, 48, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kelmarin atas tiga pertuduhan kerana menipu seorang individu untuk mempercayai dirinya adalah Sultan Melaka. – Bernama
Sabirin Yusuf, 48, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret kelmarin atas tiga pertuduhan kerana menipu seorang individu untuk mempercayai dirinya adalah Sultan Melaka. – Bernama

Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad yang menyebut kes bagi pihak peguam Nordin Hussin yang mewakili Sabirin, memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu memandangkan tertuduh mempunyai pendapatan kecil sebagai pengawal keselamatan dan menyara dua isteri serta 16 anak.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 September tarikh sebutan untuk serahan dokumen. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA