Pengebom bukan militan asing

Pengebom bukan militan asing

BANGKOK, 21 Ogos (AFP) – Pihak berkuasa Thailand semalam percaya kejadian serangan bom di Kuil Erawan di tengah bandar raya ini yang menyebabkan 22 maut dan ratusan cedera bukan didalangi kumpulan militan antarabangsa.

Bagaimanapun, polis tetap meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan seorang suspek, dipercayai warga asing yang meletakkan bom di lokasi berkenaan pada Isnin lalu.

Majoriti mangsa yang terkorban adalah pelancong dari Asia dan kerajaan bimbang penyerang berkenaan mungkin merancang lebih banyak serangan.

Lima rakyat Malaysia juga disahkan terkorban dalam serangan itu.

Serangan itu dianggap yang terbesar pernah dilihat di Bangkok dan dengan tiada pihak mengaku bertanggungjawab sehingga kini menyebabkan polis serta pakar bingung untuk mencari dalang serangan berkenaan.

Warga Islam Thailand mendoakan kemakmuran negara berikutan kejadian letupan di Bangkok baru-baru ini. – Reuters
Warga Islam Thailand mendoakan kemakmuran negara berikutan kejadian letupan di Bangkok baru-baru ini. – Reuters

Namun, ketua polis Thailand, Somyot Poompanmoung semalam memberi sedikit gambaran mengenai penyerang misteri berkenaan.

Somyot berkata, siasatan dan maklumat risikan mendapati serangan itu dirancang rapi oleh satu rangkaian yang dianggotai lebih 10 individu.

“Rangkaian ini membentuk beberapa kumpulan kecil untuk melaksanakan serangan ini dengan teliti.

“Satu pasukan dibentuk untuk membuat tinjauan, satu lagi menjadi pasukan pelindung, pasukan bantuan dan pasukan yang membawa penyerang ini keluar,” katanya.

Somyot percaya serangan itu bukan didalangi kumpulan militan antarabangsa.

Menurutnya, polis juga tidak dapat pastikan suspek yang disyaki meletakkan bom berkenaan masih berada dalam negara atau melarikan diri.

“Kami meminta bantuan Interpol untuk mengesan suspek itu sekiranya dia keluar dari negara ini,” jelasnya.

Sebelum ini, ada laporan menyatakan militan etnik Uighur dari China disyaki melakukan serangan itu kerana tidak berpuas hati selepas ramai etnik itu dihantar pulang ke negara asal.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Winthai Suvaree turut menegaskan bahawa serangan itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan militan asing.

“Agensi keselamatan bekerjasama dengan agensi risikan dari beberapa negara sekutu dan merumuskan bahawa serangan itu kemungkinan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

“Pelancong dari China juga bukan sasaran serangan ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA