Pengebom nekad bunuh 12 di pusat pemeriksaan

Pengebom nekad bunuh 12 di pusat pemeriksaan

BAQUBA, Iraq, 25 Julai – Seorang pengebom berani mati meletupkan kenderaan dengan muatan bahan letupan berhampiran pusat pemeriksaan di utara Baghdad hari ini, membunuh 12 orang, kata pegawai perubatan dan keselamatan.

Letupan yang berlaku di pintu masuk ke bandar Khales itu juga mencederakan seramai 37 orang, menurut jurucakap polis wilayah Diyala, Kolonel Ghalib al-Attiyah dan jurucakap jabatan kesihatan, Faris al-Azzawi.

Attiyah berkata pusat pemeriksaan itu dipenuhi dengan kenderaan, dan sebahagiannya telah terbakar dalam letupan itu.

Tidak ada yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu, namun kumpulan jihad Islamic State (IS) sering melancarkan pengeboman berani mati di Iraq.

Letupan itu muncul sehari selepas pengeboman nekad yang didakwa oleh IS telah membunuh sekitar 15 orang di kawasan kejiranan Kadhimiyah, Baghdad. – AFP