Pengebom penjudi hutang keliling pinggang

Pengebom penjudi hutang keliling pinggang

SHANGHAI, 13 Jun (AFP) – Polis China hari ini mengenal pasti suspek dalam pengeboman di lapangan terbang utama Shanghai yang mencederakan empat orang sebagai lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai banyak hutang akibat perjudian dalam talian.

Zhou Xingbai bekerja di sebuah syarikat elektronik di bandar Kunshan berhampiran Shanghai namun telah kehabisan wang simpanannya akibat terlibat dengan perjudian dan berdepan kesukaran untuk menampung perbelanjaan buat dirinya, menurut jabatan polis Shanghai dalam satu kenyataan dalam mikroblog rasminya.

Zhou memberitahu rakannya menerusi media sosial bahawa dia ‘berhutang wang dengan ramai orang’ dan sudah ‘bersedia untuk melakukan sesuatu yang sangat gila’ dan ‘sudah pasti kehilangan kehidupannya’, menurut kenyataan itu.

Kenyataan kerajaan sebelumnya berkata Zhou melontarkan sebotol bir yang berisi dengan bahan letupan berhampiran kaunter daftar masuk di Terminal Dua di Lapangan Terbang Pudong pada petang Ahad.

Dia kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan mengelar lehernya sendiri sebelum dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

Kata polis dia menggunakan serbuk mercun dari bunga api bahan letupan buatan sendiri, yang mana sisanya telah ditemui di bilik sewanya di Kunshan.